Apa Rasanya Memijak Duri?

Allah, bantulah daku meniti di atas jalan berduri ini.

Saat ini saya sedang menekuni sebuah kitab karangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Bukunya amat menarik. Namun saya masih belum dapat memberikan pandangan berkenaan isi sebenar buku ini melainkan sisi Muqaddimahnya untuk entri yang sedang anda telaah ini.

Saya sangat terkesan dengan kata-kata Ibnu ‘Ata’illah dalam kitab karangannya al-Hikam seperti mana kata-kata itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam pada susuk ulama’ kontemporer yang hebat ini.

Ibnu ‘Ata’illah menyebut:

“Manusia memujimu atas dasar prasangkanya kepadamu, maka jadilah pencela dirimu kerana pengetahuanmu tentangnya…orang paling bodoh adalah orang yang meninggalkan keyakinannya kerana prasangka orang lain!”

Siapa lagi yang lebih ‘arif dan mengetahui keadaan diri kita melainkan kita dan Pencipta? Terlalu banyak dosa yang kita lakukan (bukan sahaja yang dilakukan tanpa sengaja, bahkan dalam banyak waktu dengan sengaja-Astaghfirullah). Sedang yang terzahir daripada kita hanyalah yang baik-baik sahaja lazimnya. Selalu kita meninggalkan hakikat (yang kita sendiri mengetahui serta meyakininya) lalu bersandar kepada pujian manusia ke atas kita. Hidup dengan saduran emas palsu, menutup rawasit (karat-karat) yang menguasai diri. Betapa hinanya!

Orang awam menghukum berdasarkan yang zahir. Sekiranya manusia melihat diri kita sebagaimana kita yang terkuak jelas di sisi Allah, nescaya tiada orang yang mahu percaya, jadi teman setia apatah lagi hingga sanggup mengeluarkan pelbagai puji dan puja yang digilai ramai manusia. Orang yang melihat luaran sebuah rumah yang sangat cantik pasti akan kecewa apabila dia mendapati keadaannya dalamannya yang huru-hara dan menyedihkan. Begitulah diri ini.

Saya mendapati bahawa mereka yang mendaki tangga-tangga taqwa akan bertambah rasa hina dan rendah diri mereka kerana mereka semakin menghampiri yang Maha Sempurna. Dengan pendekatan itu, makin terserlahlah segala kekurangan dan kelemahan diri. Bayangkan sahaja seorang manusia yang hidupnya merempat. Tiada rumah, tiada pakaian yang kemas apatah lagi bau badan yang menyenangkan. Apabila berada di kalangan mereka yang juga senasib, tidak kelihatan secara menonjol akan kekurangan mereka. Namun, andainya pada saat itu dia memenuhi satu undangan jamuan makan malam di sebuah hotel mewah, nah, akan pasti terserlah segala cela di sisi.

Begitulah yang dapat saya hayati daripada coretan ulama’ besar ini. Beliau sangat merendah diri. Sangat. Amat. Di hati kita meyakini bahawa mereka ini berada di kalangan orang yang baik-baik dan tinggi darjatnya. Namun mereka sebaliknya berterusan menjadi orang yang merenung ruang-ruang kosong, sumbing dan rosak dalam diri. Mencela kelemahan diri. Yang tidak diketahui manusia melainkan Pencipta mereka.

Di kala manusia ramai menyiram mereka dengan limpahan pujian dan tumpahan sanjungan, mereka berpegang kepada prinsip yang sangat halus, namun begitu kuat dan padu. Ibnu ‘Ata’illah berkata lagi:

“Jika dipuji, seorang mukmin akan malu kepada Allah kerana ia telah dipuji dengan satu sifat yang dilihatnya tidak ada dalam dirinya! Apabila pujian diberikan kepadamu padahal kamu tidak layak mendapatkannya, maka pujilah Allah Ta’ala dengan pujian yang layak untukNya! Orang yang memuliakanmu sebenarnya ia memuliakan baiknya penutupan keburukan yang dilakukanNya sehingga pujian hanya layak untuk Zat yang Menutupi keburukanmu, tidak untuk orang yang memuliakanmu atau berterima kasih kepadamu!”

Masya-Allah.

Tidaklah hati itu tunduk sebegini rendah melainkan hati itu dipimpin Allah.

Sebagai insan yang jauh lebih terkebelakang daripada Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, saya lebih-lebih lagi rasa hinanya akan diri ini. Hingga kadangkala ingin lari ke tanah mana untuk menyembunyikan muka. Ia adalah perasaan saya apabila menemukan tulisan ini. Sungguh malu dan berasa hina-dina dihadapanNya, jauh di belakang mereka (para ulama’ yang wara’).

Apatah lagi dengan hati yang selalu ternoda oleh dosa.

Dosa Kecil

Baru-baru ini, teman-teman dan saya mengunjungi seorang Ustaz. Selama bersamanya, saya menemukan banyak nasihat-nasihat yang bermanfaat buat diri. Antara lain apabila beliau bercerita tentang dosa. Dosa yang dikategorikan kecil. Kata beliau, Saidina Umar r.a. memberikan perumpamaan duri-duri di atas jalan sebagai dosa-dosa kecil. Namun, bagi Saidina Umar Abdul Aziz, tiada yang diistilahkan sebagai dosa kecil. Jikapun dosa kecil itu seperti duri, cubalah kita pijak dan berjalan dengan duri yang masih tercucuk pada telapak kaki kita. Meski kecil dan sebatang cuma, kita tidak mungkin dapat berjalan dengan stabil. Tidak mungkin normal. Dan sakitnya hanya Allah yang tahu.

Nah, dengan duri yang kecil dan sebatang cuma kita sudah merana, jalan juga ibarat sudah tidak berpijak di bumi nyata, bagaimana dengan kesan dosa kecil yang tercucuk hari-hari di hati kita?

Mata kasar kita jika didekatkan dengan suatu objek kecil hingga jaraknya terlalu hampir nescaya akan menjadi kabur(out-of-focus). Bagaimana pula keadaanya mata hati kita jika tertompok dengan satu titik hitam di atasnya? Tidakkah nanti pertimbangan kita juga sudah terganggu seperti mata kasar yang menjadi kabur itu?

Begitulah dahsyatnya dosa, meskipun kecil.

Lalu bagaimana dengan diri kita yang hari-hari bermandi dosa? Kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah, datang ia daripada segenap arah. Ke mana mahu kita larikan diri?

Tidak perlu lari, kerana lari tidak menyelesaikan masalah.

Berita Sadis

Beberapa hari kebelakangan ini kita dihidangkan dengan berita-berita sadis. Cukup menyayat hati. Perlakuan yang tidak pun terlintas oleh binatang sungguhpun hidupnya bergantung hanya pada naluri (instinct) semata-mata. Kisah adik Syafiah Humairah yang mati ditendang seperti sebiji bola. Berita 15 orang yang bergilir-gilir merogol seorang pelajar Tingkatan 3 di Sungkai, Ipoh, Perak.

Dan antara yang menyiat hati saya adalah berita yang dibaca daripada akhbar The Star pagi tadi. Berita ini melaporkan kejadian pecah rumah yang menimpa pasangan muda di Johor Bharu. Pada waktu subuh, ketika suami ingin bangun menunaikan solat Subuh, beliau menemui 8 orang lelaki yang telah memecah masuk rumah mereka. Sudahlah mereka menggeledah rumah, mengambil yang bukan hak, isteri dan juga ibu kepada seorang bayi yang baru dikurniakan Allah kepada pasangan muda ini telah diperkosa bergilir-gilir oleh sekurang-kurangnya 6 orang daripada mereka di tingkat atas rumah! Suami yang cuba melawan akhirnya dipukul.

Allah…

Luka membacakan berita itu sungguh dalam, hati saya terkelar-kelar. Darah rasanya tumpah mencurah-curah tak tertahankan. Apa yang menyebabkan hingga manusia hilang pertimbangan sampai sanggup bertindak sebegini rupa? Bukan sahaja di luar batas perikemanusiaan, malah di bawah perikebinatangan!

Mungkin ianya bermula daripada setitik dosa (yang dianggap kecil) dan tidak dicucikan dengan taubat hingga akhirnya hati tertutup langsung, gelap, legap dan manusia bertindak dengan perlakuan di bawah tahap binatang, di bawah telunjuk nafsu, di bawah pimpinan syaitan.

Kerja Banyak, Masa Terhad

Masalah manusia berpunca daripada manusia. Masalah yang melanda hari ini memang terlalu meluas dan bermaharajalela. Namun tidak mungkin ia akan terhapus sekiranya kita semua mengambil pendekatan membenci dalam hati selama-lamanya, atau lebih teruk terus tidak peduli.

Kejadian-kejadian seumpama itu, (mahu mengungkapkannya sahaja sudah tidak tertanggung perasaan ini) jika berlaku kepada kaum kerabat kita, anak-anak kita, dan orang-orang yang kita sayangi dan kasihi bagaimana rasanya?

Mungkin kita bukan ahli parlimen, bukan pemimpin mana-mana pertubuhan besar atau mana-mana organisasi, namun pada tahap minima, kita adalah pemimpin kepada diri sendiri.

Mulakanlah usaha pembaikan itu dari dalam diri kita semua dan serukan kepada manusia disekeliling kita. Perlahan-lahan ia akan mengesani persekitaran apabila semakin ramai yang beriman dan mengikuti jalan pembaikan.

Dalam masa yang terhad, ini adalah seruan yang mungkin saya sampaikan. Buat yang berkemampuan, belilah pakaian yang cukup dan sempurna untuk menutup batang tubuh anda kerana kecantikan/kegagahan anda yang dipertontonkan kepada umum akan memalitkan dosa-dosa kecil yang membuncah, menghilangkan waras pertimbangan dan akhirnya melahirkan masyarakat yang rosak.

Tindakan anda mungkin nampak kecil namun percayalah impaknya sangat besar. Berapa banyak orang yang mahu melatih dirinya menta’ati Allah akhirnya tersasar. Kita pasti tidak mahu tersenarai sebagai orang yang menyumbang kepada kehancuran tersebut.

Perhalusilah ajaran agama ini dan galilah semula Deen yang tertimbus dek fitnah dan pelbagai faham-faham menyeleweng.

Sungguh kerja banyak sangat, masa kurang amat!

annajm5
Darul Ikhwan,
Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan.

Advertisement

3 Comments

Filed under Rasa Hati, Tazkiyatun Nafs

3 Responses to Apa Rasanya Memijak Duri?

  1. Faiz

    Salam…
    buku yang nazmie bawa dalam meeting tadi kah?
    sempat intai jap,maaf…bagus bagi yang mahu belajar berlapang dada…nak mendalam lagi..khatamkan buku beliau tentang Aqidah Salaf wa Khalaf..sangat sesuai bagi golongan yang bawa manhaj ‘sederhana’.Wallahua’lam

  2. Salam.

    Ya, buku yang ana bawa bersama pagi tadi. Semoga Allah memimpin hati-hati kita menjadi Mukmin yang ‘adil insya-Allah. Terima kasih Faiz kerana sudi berkunjung. Semoga dapat mengambil apa-apa yang boleh dimanfaat.

  3. nurinsyirah

    alhamdulillah..manfaat benar sbg ingatan & pengajaran

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s