Awet Muda: Rahasia Wajah Kekal Remaja

Ramai yang mengidamkan wajah kekal muda remaja.
Namun apa rahsianya?

Suatu hari semasa saya sedang berurusan di Plaza Low Yat, saya disapa oleh seorang jurujual.

“Abang, abang umur berapa tahun bang?” tanya beliau.

Saya terkedu, hairan mengapa ada orang bertanyakan umur secara tiba-tiba. Tidak bersangkutan apapun dengan urusan perkomputeran.

“Saya 23 tahun,” jawab saya.

“23?! Betul ke bang?!” balas beliau tidak percaya.

“Ya, betul, saya baru beberapa hari berumur 23 tahun,” tegas saya. Kehairanan saya kian bertambah melihatkan kehairanan saudara yang seorang ini.

“Biar betul bang, tak de rupa 23 pun, macam 19 tahun adalah!” tukas beliau.

’19?!’

- Tamat imbas kembali -

Kawan, ada banyak petua untuk mengelak wajah tampak tua meski usia meningkat berganda-ganda. Tapi sebelum saya kongsikan koleksi petua awet muda yang pernah tercatat dalam daftar data di kepala saya, mari kita teliti bersama-sama sebab-musabbab kebanyakan manusia begitu mendambakan wajah yang kekal muda belia.

Setiap orang selalu ada alasan tersendiri. Yang mampu saya coretkan di sini adalah mungkin alasan-alasan umumnya.

1. Suka dipuji orang dengan mengatakan wajahnya nampak muda (Astaghfirullah…)
2. Tambah keyakinan diri (em..).
3. Memikat pasangan (suami/isteri).
4. Muda tampak baharu. Manusia senang dengan hal-hal yang baharu.
5. Selebihnya boleh anda tambah sendiri (sekiranya perlu).

Apapun alasannya, memiliki wajah kekal muda merupakan salah satu daripada nikmat-nikmat yang dikehendaki manusia.

Sepanjang 22 tahun hidup, saya bertemu dengan banyak orang yang telah berusia, namun wajah mereka luar biasa mudanya. Tidak selari dengan umurnya (dengan pengertian yang positif). Apabila ditanya apakah rahasia di sebalik wajah yang nampak muda itu, mereka mengemukakan petua-petua berikut:

Selalu Senyum

Ceria selalu- Saya dan rakan-rakan di majlis perkahwinan Angah & Kak Hajar

Memang lazimnya mereka dengan wajah berawet muda ini murah dengan senyuman mereka yang mahal. Senyuman itu mahal harganya lantaran senyum mereka tidak dibuat-buat, bukan terpaksa atau direka-reka. Tetapi senyum yang ikhlas, lahir dari hati yang ingin membahagiakan orang lain. Senyum mereka juga tidak disalah guna (untuk mengejek, menyindir, mengganggu, mengurat, dan lain-lain me~ dan meng~ yang tidak selayaknya). Dahulu ada seorang guru kaunseling di sekolah menengah saya yang namanya Cikgu Tan Chee Tat. Senyum memang tak pernah lekang dari bibir. Bergula selalu. Hingga ada yang pernah bertanya;

“Cikgu, cikgu tak pernah ada masalah ya?”

Maka lihatlah hal ini selari dengan anjuran Islam yang memasukkan senyuman itu sebagai sebahagian daripada sadaqah. Daripada kajian ilmiah juga terbukti bahawa otot-otot yang bekerja semasa senyum adalah lebih sedikit berbanding semasa kita menarik muka masam. Nah, apalagi? Jika tiada alasan untuk kita bermuka masam, ayuh kita lariskan jualan manisan di bibir (dalam bahasa mudahnya; senyumlah!)

Senyumlah demi mendapat keredhaan Allah. Wajah muda? Kesan sampingannya.

Jaga Makanan dan Tabiat Pemakanan

Hal ini banyak kali ditekankan oleh mana-mana individu yang saya jumpa. Kadangkala ada yang berpegang dengan petua-petua unik seperti makan pucuk muda pohon petai, minum susu kambing, makan itu, minum ini dan sebagainya.

Oh ya, ilmu berkenaan makan pucuk muda pohon petai itu diturunkan oleh Ustaz kami, Ustaz Dzulkefli yang sudah berusia lebih 45 tahun namun wajahnya tampak jauh lebih muda. Dalam kembara kami ke Utara tahun lalu, para peserta memang menanti-nantikan tips untuk mengekalkan wajah muda daripada Ustaz. Antara yang berjaya kami dapatkan adalah tentang pucuk muda pohon petai. Mujur kami bertemu dengan pohon petai yang masih rendang dan bisa dipetik pucuknya bersebelahan dengan ladang tebu (baca duit) Tan Sri Robert Kuok – insan terkaya dengan harta materi di Malaysia.

Ustaz Dzulkefli (berbaju hitam)


En. Waqar Hamman (merah) dan En. Shakur (hijau)

En. Firdaus (Belang merah jambu-hitam) & En. Syamil (Belang Merah-Putih)

Turut diajarkan kepada saya oleh seorang lagi ustaz di Uniten, Ustaz Shafie, bahawa makanan yang kita makan bukan sahaja perlu bersih, malah perlu juga suci. Bukan sahaja halalan malah toyyiban. Kadangkala kita tidak sedar (lantaran sudah menjadi satu kebiasaan) apabila kita menyiang ikan, ayam dan sebagainya, kita selalu membasuh ikan/ayam/daging yang sudah siap dalam satu bekas/besen berisi air. Basuhan untuk bahan masakan yang pertama tidak mengapa, air dalam bekas masih suci dan menyucikan. Kemudian bahan yang kedua, ketiga dan seterusnya dibasuh dalam air yang telah terkesan dengan darah dan najis(sekiranya ada) pada bahan yang dibasuh awal-awal tadi. Air yang tertinggal itu tidak lagi menyucikan. Mungkin sudah menjadi air mutannajis-air yang bercampur dengan najis. Kemudian terus ikan/ayam/daging itu dimasak…

Seelok-eloknya untuk memastikan makanan kita itu tersedia dalam keadaan terbaik dan suci, hendaklah kita alirkan air mutlak ke atas bahan sebagai basuhan terakhir (bukan dicelup-celup dalam bekas yang sama untuk semua bahan). Barulah datang barakah, insya-Allah. Hingga ke tahap itu penjagaan orang-orang yang teliti. Ya, Ustaz Shafie yang memberi saya ilmu ini juga merupakan antara mereka yang dikurniakan wajah dengan nuansa muda walau usia sudah lebih 40 tahun.

Makanan berkait langsung dengan kesihatan, kecerdasan akal dan keberkatan hidup di dunia akhirat. Makanlah dari makanan yang baik-baik dan halal. Wajah muda? Kesan sampingannya.

Bersukan

Pola air-sukan semasa perkhemahan X-Cursion PEMBINA-ISMA di Kuala Linggi, Melaka.

Saya pernah mengirimkan rakan saya sebuah artikel berjudul Rahsia Muda Dr. Mahathir. Antara lain yang dikongsikan oleh Dr. Mahathir adalah aktiviti sukan beliau semasa waktu-waktu terluang. Umum juga mengetahui bahawa kita disarankan untuk beriadah sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, setengah jam setiap sesi.

Jadi bagaimana dengan waktu-waktu senggang kita? Apa yang memenuhinya?

Marilah kita sama-sama berusaha untuk keluar beriadah kerana kesihatan yang pertama. Nikmat yang amat mahal yang perlu kita jaga dan pelihara sedaya mampu. Wajah muda? Kesan sampingannya.


Wudhu’ & Solat Malam


Amalan ini pernah diwajibkan buat para pendokong dakwah di zaman awalnya.

Hal ini disebut oleh Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus dalam siri ceramahnya yang saya ikuti di corong-corong radio. Memang tidak dinafikan, para ustaz, ayah kepada sahabat saya dan mereka-mereka yang berwajah muda belia menjaga wudhu’ dan solat malam mereka. Seboleh-bolehnya, sungguhpun sisa-sisa malam (imsak, waktu-waktu sebelum subuh mampir) kita hidupkan dengan solat malam. Begitu banyak kelebihan dan sedemikian tinggi ganjaran yang tersedia untuk mereka yang menghidupkan malam. Allah turun ke langit dunia dan berkenan untuk mengkabulkan permintaan-permintaan hamba-hambanya.

Solatlah dengan ikhlas. Berdoalah sesungguh hati. Bertaubatlah seolah mentari yang bakal muncul nanti bukan milik kita lagi.

Wajah muda? Kesan sampingannya.

Rahasia Terbesar

Di sinilah tempat saya mendapatkan rahsia terbesar berkenaan awet muda 7 tahun yang lalu.

Ini adalah puncak kepada semua petua yang ada di atas. Tip paling top untuk mendapatkan wajah muda belia, ceria bak remaja. Seingat saya, rahasia ini mencecah gegendang telinga saya kira-kira 7 tahun yang lalu. Ketika itu saya, Faruqi, Rauhan dan Muaz (sahabat-sahabat semasa di MOZAC dahulu) dihantar untuk menghadiri Nadwah Kepemimpinan Islam di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang). Dalam salah satu siri pengisian yang diadakan, saya bertemu dengan Al-Fadhil Ustaz Mohd. Zawawi Yusoh (UIAM). Beliau telah kongsikan rahasia terbesar ini dan ia tetap menjadi pegangan saya setelah itu sehingga kini dan selepas ini insya-Allah. Rahasia yang dikhabarkan beliau bukan sebarang rahsia. Ia adalah satu kaedah yang bukan sahaja membolehkan kita mengawet muda di wajah bahkan mengekalkannya sampai bila-bila! Apa petua yang sebegini hebat? Kata Ustaz;

“Kamu jaga masa muda kamu di dunia, insya-Allah kamu akan muda selama-lamanya di syurga!”

Subhanallah.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” ان الله يعجب من شاب ليست له صبوة ” . رواه أحمد ( 17371) وأبويعلى ( 1749)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud  “Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum kepada pemuda/remaja (termasuk pemudi) yang tidak ada (mengalami) keruntuhan akhlak/moral pada dirinya”.

(HR. Ahmad & Abu Ya’la)

Sungguh periode remaja ini amat mencabar dengan pelbagai dugaan yang datang menguji dari segenap jihat. Namun beruntunglah bagi mereka yang berjaya mengharunginya dan berusaha keras untuk tidak sampai terjebak dalam hal-hal yang mendatangkan kemurkaan Allah Azzawajalla. Tidak tersangka bahawa pedoman terbaik untuk kekal muda adalah menjaga waktu muda itu sendiri dengan amal-amal soleh.

Jika ada manusia yang bersungguh-sungguh mencari ibu kepada segala petua untuk menjaga wajahnya, namun dengan wajahnya yang muda belia, cantik bak para remaja itu dia kufur kepada Allah, apa maknanya? Mudanya hanya sebentar. Mudanya hanya di dunia. Mudanya tidak lama.

Sebaik-baik nikmat adalah nikmat yang berkekalan dan tiada nikmat yang berkekalan melainkan di syurga Allah Rabbul Jalil nanti.

Inilah sebaik-baik petua berkenaan awet muda yang pernah saya perolehi. Kepada sidang pembaca yang berjaya menemukan petua lain yang dirasakan lebih ngetop, boleh langsung meninggalkan komentar di bawah entri ini. Semoga diri saya, sahabat-sahabat dan sidang pembaca sekalian tidak meletakkan maksud dan kesan sampingan ini sebagai matlamat utama. Wajah muda adalah anugerah Allah kepada sesiapa yang dia kehendaki dan bukan itu ukuran tinggi rendah seseorang di sisiNya.

Kayu ukurnya ialah taqwa.
Wajah muda? Hanya kesan sampingan!

Wallahu a’lam bis showab,

annajm5@Darul Ikhwan,
Bandar Baru Bangi.

6 Comments

Filed under Motivasi, Pengalaman, Rasa Hati, Tazkiyatun Nafs

6 responses to “Awet Muda: Rahasia Wajah Kekal Remaja

  1. ibnukhair

    Setuju tips terakhir tu…. Check mate!

    Mantop…

    AbuKhairah

  2. Mintak sharing kat blog kami ye :D

  3. Nurulaina

    Assalamualaikum..tips yg bagus..subhanallah..

  4. terima kasih info yang mengesankan.

  5. ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA
    RAHSIA CANTIK JELITA
    PRICE LOW RM 10 jerrr..
    Yg Free tue,Boleh BUka BLOg FB:Sueha Che Hamzah
    Jom..Jom..Jom TGok
    http://httprahsiaawtmuda.blogspot.com/

  6. Alhamdulillah dan terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu ini
    memang momoy google tapi kebanyakan nya adalah sama dan kopi pasta
    entri ini betul2 lahir dari hati dan saya terasa keikhlasan bila membacanya.
    bangun sujud syukur dan tahajud tengah malam akan saya cuba usahakan setiap hari.

    satu lagi , apa yang ibu saja amal dan ajar pada saya adalah setiap benda makanan yang dibasuh haruslah berselawat

    http://www.momoy-blogirl.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s