
“Itu semua sementara sahaja. Nanti perasaan itu akan pergi…” begitu pesan guru saya semasa di sekolah rendah. Kisah ini kisah lama.
Sekolah lama saya di kampung dahulu sangat sederhana. Sederhana bilangan guru-gurunya(berkadaran dengan bilangan murid). Sederhana kemudahan dan prasarananya. Sederhana dalam jumlah murid-muridnya. Semasa saya berada di Darjah 6, saya masih ingat, bilangan murid hanya 19 orang (untuk keseluruhan kelompok-batch). Hinggakan saya dan kawan-kawan terpaksa menumpang di sekolah kampung seberang untuk menjalani peperiksaan UPSR (kerana ketika itu syarat minimum untuk sesebuah sekolah menjadi pusat peperiksaan adalah bilangan pelajarnya 20 dan ke atas).
Dalam persekitaran yang serba sederhana ini saya membesar dan belajar banyak perkara. Antara lainnya adalah tentang cinta yang dinisbahkan kepada beberapa ekor haiwan.
Cinta monyet.
Kata mat salih, puppy@calf love (cinta anak anjing@anak lembu-macam teruk benar bunyinya). Tiba-tiba beberapa hari yang lalu saya berfikir tentang hal ini semasa sedang berehat menanti kelas selanjutnya di universiti.
Kenapa monyet?
Kenapa cinta adakalanya dinisbahkan kepada binatang yang bernama monyet? Apa salah monyet? Ataukah orang-orang Melayu terdahulu geram dengan monyet yang gemar mengunjungi rumah mereka tatkala pokok rambutan sedang galak berbuah? Ataukah kumpulan binatang ini acapkali menggagalkan kitaran hidup ayam itik yang dipelihara (kerana mereka mengambil telur yang sedang dieram)? Ataukah ada pengaruh teori evolusi Darwin yang menyasar itu?
Apapun sangkaan saya, ianya mungkin benar, mungkin tidak. Tetapi ada yang lebih baik dan bermanfaat untuk difikirkan. Pengajaran daripada simpulan bahasa tersebut.
Orang Melayu kaya dengan simpulan bahasa. Bahasa tidak disimpulkan dalam satu ikatan yang kemas melainkan ianya telah banyak dan secara mendalam difikirkan oleh orang yang mula-mula menggunakannya suatu masa dahulu. Biasanya penerbitan (derivation) simpulan bahasa dibuat berdasarkan pemerhatian dan pengamatan.
Saya ingin membesarkan skop bicara kita. Tidak sekadar mengambil monyet, tetapi boleh juga kita lihat kepada sepupu-sepapat mereka; kera, beruk dan lain-lain ahli keluarga monyet yang besar (termasuk manusia?). Kerana peribahasa Melayu juga menyebut, kera menjadi monyet yang bermaksud suatu perubahan yang tidak ada bezanya. Monyet dan kera tidak punya kelainan(secara saintifik mungkin berbeza-tetapi tidak terlingkup dalam perbicaraan ini). Sama sahaja keduanya.
Baru saya perasan yang kehidupan orang di tanah Melayu ini sangat akrab dengan monyet. Ada pelbagai lagi ungkapan yang berkait dengan monyet atau kera. Anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui; seperti kera sumbang; macam monyet kena belacan dan banyak lagi. Kehidupan dan pengalaman saya semasa membesar di kampung dahulu mengiakannya.
Salahkah Monyet?
Monyet tidak pernah salah. Mereka dipasangkan Allah SWT dengan naluri(instinct) yang sedemikian rupa, sesuai dengan kapasiti mereka, supaya mereka dapat meneruskan kemandirian spesis dan memastikan survival kelompok mereka dalam masa-masa mendatang yang semakin mencabar.
Sesuatu perbuatan menjadi kesalahan apabila makhluk itu punya keupayaan atau kebolehan untuk menggunakan akal menentukan mana betul dan mana yang salah. Contohnya kes bunuh atau lain-lain jenayah yang dilakukan oleh orang yang sakit jiwa, tidak waras atau gila(maksudnya mereka sudah tidak berkeupayaan untuk berfikir secara normal; menentukan baik dan buruk, berfikir secara rasional dsb.). Mereka tidak akan dijatuhkan dengan hukuman yang diperuntukkan untuk orang waras. Kerana mereka tidak waras. Akal tidak berfungsi dengan sebetulnya dan mereka tidak ada kapasiti untuk dipertanggungjawabkan dengan perbuatan mereka. Ia berlaku di luar sedar.
Namun kebanyakan kita manusia normal, insya-Allah.
Cinta Ala-ala Monyet
Adapun pada hemat saya, simpulan bahasa seperti cinta monyet dibuat kerana persamaan daripada segi sifat, hakikat, makna(perkara-perkara yang tidak diukur secara objektif) sang pelaku (manusia) dengan haiwan bernama monyet.
Mari kita perhatikan satu peribahasa lain; seperti kera mendapat bunga. Peribahasa ini bermaksud seseorang mendapat sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana ia boleh dimanfaatkan. Lalu dia bermain-main dengan perkara itu dan akhirnya (setelah bosan, rosak atau menjumpai hal, subjek yang lebih menarik) dia akan pergi meninggalkan ‘bunga’ itu. Kesukaannya kepada bunga tidak kekal. Hanya mahu bermain-main. Sekadar melepaskan semangat inkuiri yang tinggi tanpa perancangan jangka masa panjang.
Di kampung, kadangkala buah-buah yang masih muda, belum masak (seperti manggis, rambutan atau pulasan) sengaja digugurkan oleh monyet. Mereka(boleh guna mereka untuk monyet ke?) ia menggigit-gigit buah itu, kemudian membiarkannya bertaburan di bawah pokok. Semua itu hanya untuk memenuhi dorongan naluri haiwan yang dimiliki monyet. Mereka tidak bertanggungjawab (dan memang tidak dipertanggungjawabkan pun). Saja suka-suka
Cinta monyet.
Bila kita renung kembali dalam-dalam, nampak akan persamaan dan kebenaran ungkapan ini -kan?
Cinta yang tidak disertai dengan keseriusan dan tanggungjawab. Sampai masa ditinggalkan begitu sahaja setelah naluri dan nafsu dipuaskan. Orang juga menyebut tentang cinta palsu. Palsu adalah perkataan yang menggambarkan tentang sesuatu yang kelihatan semacam benar tetapi hakikatnya nihil, kosong.
Mereka yang beriltizam dengan kelakuan ini juga kelihatannya seperti monyet yang tidak pernah serik-serik. Walaupun (monyet) dihambat dengan batang penyapu, dibaling dengan mercun dan dilastik dengan batu, esok-esok mereka tetap melakukan ‘lawatan kerja’ ke rumah kita.
Laksana itu jualah manusia yang suka bermain dengan hati dan perasaan tanpa hala tuju yang jelas. Lagaknya seperti monyet. Pencinta monyet tegar. Selepas seorang, seorang yang lain pula diambil menjadi ‘teman permainan’ walaupun terkadang ada yang tidak tahu mereka dipermainkan dan ‘dialat mainan-kan’. Sudah banyak kali dinasihatkan, tetapi masih tetap setia dengan mainan dan masih ada yang suka dipermainkan.
Kisah Kera dalam Al-Quran
Ayuh kita semak sirah anbia’. Terdapat catatan yang berkait dengan kera di dalam kisah yang berlaku di zaman Kalimullah, Nabi Musa a.s.. Allah hingga merakamkan kisah ini di dalam firmanNya, surah al-A’raf ayat 163 hingga 168.
163. dan tanyakanlah kepada bani Israel mengenai negeri yang terletak berhampiran dengan laut ketika mereka melanggar peraturan pada hari Sabtu, pada masa datangnya ikan-ikan kepada mereka terapung-apung di permukaaan air, dan pada hari selain Sabtu ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami mencuba mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
164. Dan(ingatlah) ketika suatu puak di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati puak yang mana Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?”. Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan supaya mereka bertaqwa”.
165. Maka ketika mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan mereka yang melarang daripada perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada mereka yang zalim siksaan yang keras disebabkan mereka sentiasa berlaku fasik.
166. maka ketika mereka bersikap sombong terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepada mereka : “Jadilah kamu kera yang hina”.
167. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim kepada mereka(orang yahudi) sampai hari qiamat mereka yang akan ditimpakan ke atas mereka azab yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya dan sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
168. Dan Kami bahagikan kepada mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan di antaranya ada orang-orang yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak sedemikian. Dan Kami uji mereka dengan(nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali(kepada kebenaran)
Allah SWT menukar mereka yang ingkar kepada sejenis binatang yang Allah sendiri sifatkan dengan adjektif negatif, yakni hina. Sebahagian mereka daripada bani Israel pada ketika itu tamak haloba. Mereka bertindak menurut hawa nafsu. Walaupun sudah datang perintah Allah untuk beribadat pada hari Sabtu dan meninggalkan sementara urusan dunia. Sedang mereka mengetahui bahawa dunia bersifat dengan satu sifat yakni fana’-tidak kekal, akan binasa. Akan nanti datang satu alam yang bersifat dengan sifat baqa’-kekal, tidak akan punah.
Mereka yang hidup tetapi alpa tentang sifat dunia itu akan merasakan dunia adalah segala-galanya. Mereka berbuat seenak-enaknya. Mereka hilang malu dengan Tuhan bahkan lebih berbahaya bila hilang malu dengan manusia yang zahir pada pandangan mata kasar kita. Na’udzubillahi min zalik.
Monyet tanpa segan-silu mengawan di mana-mana lokasi tanpa perlu berselindung. Salahkah monyet?
Tidak. Sifatnya memang begitu.
Manusia tanpa segan-silu juga mula berperilaku seperti monyet. Manusia bahkan ada yang sanggup membuang anak yang lahir secara tidak sah di mana-mana, sesuka hatinya. Perbuatan yang monyet juga tidak pernah lakukan. Salahkah manusia?
Ya. Fitrah kita bukannya begitu.
Manusia fitrahnya suci, bersih, cenderung kepada kebaikan dan kebenaran. Manusia pada tahap tertinggi adalah lebih mulia daripada malaikat yang tidak pernah derhaka dan senantiasa taat serta beribadat kepada Rabb mereka. Manusia pada tahap terendah adalah lebih hina daripada binatang ternak yang hanya melakukan rutin harian (makan, minum, berkumuh, mengawan dll.) mengikut naluri, tanpa pertimbangan akal yang dipandu iman.
Bagi mereka yang merasakan bahawa kematian adalah titik akhir dalam perjalanan hidup manusia, mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi kebutuhan nafsu mereka mengikut sebarang jalan yang memungkinkan nafsu mereka dipenuhi. Betul-salah belakang kira. Dosa-pahala tak payah cerita.
Lalu banyak yang bergayut pada dahan-dahan yang dipaut monyet. Meredah belukar dan belantara seperti yang dilakukan oleh monyet. Meninggalkan jauh jalan lurus yang telah dibuka dan dipelopor oleh para anbia’ a.s..
Banyak yang salah mengekspresikan cinta apabila pandangan mereka terhadap alam ini cetek.
Mati hanya Koma (Comma)
Mati bukan noktah, tetapi hanya koma (tanda bacaan ( , ) yang bermaksud berhenti seketika).
Hidup manusia berakhir dengan tiada pengakhiran. Kisah manusia tidak ternoktah dengan mati, sebaliknya akan kekal dalam alam tanpa mati, hidup selamanya. Hanya yang berbeza sama ada kita akan kekal hidup dalam kesenangan dan kenikmatan atau kesengsaraan dan pengazaban.
Misi kita adalah untuk hidup unggul di dunia(menjadi hamba dan khalifah Allah) berlandaskan al-Quran dan Sunnah Nabi saw.
Visi kita adalah untuk mencapai mardhatillah-Keredhaan Allah SWT dan menjadi penghuni syurga Firdaus(yang terbaik dan tertinggi di kalangan syurga-syurga yang lain; ‘Adn, Na’im, Darus-Salam dll.)
Misi dan visi ini tidak akan tercapai jika kita masih mengambil manhaj atau metadologi daripada monyet. Bahkan kita perlu kepada metadologi yang datangnya daripada pencipta syurga dan neraka. Syari’atullah-hidup dengan ketetapan dan peraturan-peraturan Allah SWT.
Tak Senang
Kata bijak-pandai, jangan berbicara dengan 3 jenis manusia. 1. Manusia yang gila. 2. Manusia yang mabuk(cth: minum arak) 3. Manusia yang sedang asyik bercinta.
Orang yang sedang asyik bercinta sudah punya dimensi berlainan dengan kebanyakan orang. Ukuran betul-salah dan pertimbangan rasional lagi berbeda dan sering nyasar daripada yang benar. Tidak mudah untuk memperbetul orang-orang yang sedang bercinta tanpa pedoman iman dan taqwa. Kerana mereka menyangka tiada silapnya perbuatan mereka itu.
Masa kadangkala adalah ubatnya. Dengan masa datang pengalaman-pengalaman yang mendewasakan. Sesuatu yang kelihatan bagus masa lalu mungkin tidak lagi bila kita semakin mendaki tangga usia. Tetapi tidakkah kitakan rugi bila lambat menyedarinya? Manfaatkan pengalaman mereka-mereka yang sudah melaluinya dan merasa rugi dengannya.
Mudah-mudahan pengamatan serba sederhana ini bermanfaat kepada yang membacanya. Jikalau tidak buat masa ini, moga satu saat nanti…(Insya-Allah)
Wallahu’alam
annajm5
Darul Ikhwan
Seksyen 8, 43650,
Bandar Baru Bangi.




























































3 Comments
July 20, 2009 at 10:36 am
salamun ‘alaik..
Akhi,Alhamdulillah..seperti selalu,penulisan enta matang dan mudah dicerna oleh manusia yg inginkan kebaikan..
Ana mntk izin utk repost entry enta ni dlm blog ana supaya dpt dimanfaat oleh pelajar2 MMU boleh?
July 20, 2009 at 3:12 pm
Wa’alaikum salam.
Insya-Allah boleh. Silakan berkongsi dan sertakan link rujukan ke blog ini.
July 21, 2009 at 12:06 am
nazmie, mintak la komisen 10 20 persen ke? ;P