July 14, 2009...12:23 am

Mimpi-Cebis Ketiga

Jump to Comments

(Dengan apologi kepada diri sendiri dan pembaca…)

Sebelum ini dalam Mimpi:

hospital_by_ghostcakeAzmi dan Shamsul dalam perjalanan untuk bertemu dengan ‘Iffah dan Intan di pusat bandar Kuala Lumpur bila kereta yang mereka naiki ditabrak oleh lori.

Darah serasa berkejar-kejar masuk ke tiap celah pembuluh darah. Laju-laju. Aku berpaling menghadap cermin belakang. Bunyi hon kuat menggegar gegendang telinga. Shamsul sepenuh daya menggoncang batang tubuh sedang mataku terpana pada logo Hino terkimpal di depan jeriji besi yang semakin hampir. Kian rapat.

Dum!

Azmi terdampar di dunia aneh tanpa suluh cahaya. Dia hampir berputus asa sebelum dia mendengar suara yang mengejutkannya dari tidur. Suara siapakah itu?

“Nak, bangun nak. Kenapa tidur di sini?”

Tubuhku digoncang. Frekuansi asing menerjah masuk ke membran basilar yang diam dalam lingkar koklea. Berat rasanya mahu mencelikkan mata. Nanti dulu. Orang? Dalam tempat gelap tak berjirim ini? Siapa pula? Entah-entah…


“Atuk?!” aku berteriak separuh menjerit.

“La…cucu atuk sorang ni. Mimpi apa sampai menangis-nangis dalam tidur?” Wajah Atuk elok bersih. Senyum manis terukir cantik di bibir Atuk. Atuk terus-terus mengangkat kepalaku yang terbenam di dalam empuk kekabu bantal. Seketika itu aku hangat di dakapnya erat di dada.

“Mimpi buruk ye? Hantu kejar Azmi ke? Ke Tok Harimau datang terkam?” soal Atuk sambil tangannya mengelus lembut rambut yang tumbuh di kepalaku. Sedu-sedan masih berbaki. Atuk senyum sahaja.

Angin semilir bersopan-santun masuk melalui daun tingkap yang terkuak. Datang menyapa kami mesra. Atuk mengalunkan selawat penenang jiwa. Lunak dan bergetar megah suara Atuk. Ketenangan perlahan-lahan menyelinap, mengusir gusar, takut dan cemas keluar dari kamar hati.

Air mata sudah kering.

“Dah, Azmi jangan takut-takut lagi ya. Insya-Allah yang buruk-buruk dalam mimpi tu tak akan ganggu lagi,” kata Atuk tenang. Mataku direnungnya dalam-dalam. Aku mengangguk kecil tanda faham.

Atuk bingkas bangun meninggalkan aku terkulat-kulat di atas katil. Sampai di muka pintu Atuk berpaling.

“Dah nak masuk maghrib ni. Pergi siap-siap. Ikut Atuk pergi masjid.” Aku menurut. Katil kutinggalkan. Aku ke bilik mandi di kawasan bawah rumah. Mandi air perigi. Sejuk.

Masjid hanya sepelaung dari rumah. Kami pergi menaiki motor vespa Atuk. Vespa buatan Itali. Model Rally 180, keluaran tahun 1969. Nenek selalunya solat di rumah. Hanya bila ada majlis-majlis di masjid baru nenek ke sana.

Malam selepas solat isya’ dan makan malam, aku langsung ke bilik. Tingkap kubuka. Membiarkan angin nyaman menerpa masuk. Ikut serta unggas, suka dengan cahaya yang datang dari bal. Aku meletakkan tangan di atas dahi. Terkebil-kebil menunggu kuap yang tak kunjung tiba. Berpusing ke kiri, ke kanan. Berubah kedudukan dengan pelbagai formasi. Entah bila akhirnya mata terkatup.

****

“Boleh saya tahu, ada pesakit yang datang sebab kemalangan tadi?” Perasaan cemas membuak-buak. Tumpah di raut wajah. Kusut rambut dek tamparan angin tidak dihirau. ‘Iffah benar-benar panik.

“Kemalangan antara kereta dengan dua lori tu? Em..Encik Muhammad Azmi bin Kamil?”

‘Iffah mengiakan.

“Maaf cik, sekarang ini dia masih di dalam bilik pembedahan,” kata petugas di kaunter Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. ‘Iffah tambah tak keruan.

“Berapa lama lagi?”

“Saya pun tak pasti. Bergantung kepada keadaan pesakit. Cik ni…”

“Saya kawan dia.” ‘Iffah cepat-cepat memotong.

“Oh. Kalau mahu, cik boleh duduk di ruang menunggu, sebelah sana,” katanya sambil ibu jari menuding ke arah sebuah ruang khas.

“Terima kasih,”

“Sama-sama.”

Saat berhimpun jadi minit. Minit bergabung menjadi jam. Jam berlalu satu demi satu. ‘Iffah mula keletihan menunggu. Masih tiada berita apa-apa. Kecamuk di hati Tuhan sahaja yang tahu. Duduk, rasa tak kena. ‘Iffah berdiri. Berdiri rasa letih. ‘Iffah tersandar ke dinding. Dalam hati dia berdoa sungguh-sungguh.

“Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah Azmi…”

Dalam tak sedar ada air bergenang di pelupuk mata. ‘Iffah pejam kuat-kuat. Air matanya tidak tertahan lagi. Dia mula tersedu-sedu. Bertawan-tawan.

****

“Cik, cik. Bangun cik,” sapa satu suara. ‘Iffah tersentak. Tertidur?

‘Ah, sudah jam berapa ini?’ soal hati kecil ‘Iffah.

“Cik boleh ikut kami?” ajak petugas di kaunter tadi. ‘Iffah mengikut. Jantungnya kembali berdegup kencang.

‘Azmi. Bagaimana keadaan Azmi?’

****

‘Ah, gelap lagi?’ Aku bingung. Kembali ke dunia tanpa cahaya semula.

‘Apa makna semua ini?’

Aku boleh membuka mata. Tetapi tidak berguna. Tetap tidak kelihatan sebarang apa. Aku pun bosan berjalan. Aku mengambil keputusan untuk duduk. Bosan duduk, aku berbaring. Entah apa yang aku tunggu, entah apa yang aku nanti, aku pun tidak tahu.

‘Kalau berjalan pun tak ke mana. Nak ke mana?!’ Hati kecil bingit. Mula meradang.

Seketika kemudian aku lihat satu sumber cahaya dari jauh. Malas-malas aku ke arah cahaya itu. Lama-lama aku sampai kepadanya.

‘Wah, kolam air yang bercahaya!’ Hati berdesis.

Aku menyentuh permukaan air. Air beraksi. Beralun dengan satu sentuhan. Beransur-ansur tenang riak dipermukaan air, satu imej lain terpancar. Aku dapat melihat bayangan sesuatu.

Tetapi apa? Belum begitu jelas…

Bersambung…

p/s: Sila rujuk cebis satu dan dua di sini.

Darul Ikhwan,
198, Seksyen 8,
Bandar Baru Bangi.

Leave a Reply