(Buat adik, Ruzanna Syairah binti Abd Razak yang akan memulakan kehidupan di IPT, semoga senantiasa berusaha untuk kekal dan taat dengan syari’at Allah SWT)
Ketika keputusan SPM 2008 keluar, seorang pengunjung telah meninggalkan komen ini di lensahati. Saya tidak terus-terus menjawabnya kerana beberapa sebab yang pada hemat saya munasabah.
- Memberikan senggang masa. Kerana ketenangan fikiran dalam memikirkan sesuatu perkara adalah amat penting. Ingat, masa adalah sebahagian daripada rawatan. Apabila sesuatu perkara berlaku kepada diri kita, emosi selalu menguasai diri. Lalu masa adalah antara ubat yang perlu diberikan supaya ketegangan emosi itu berkurangan. Juga dengan masa, insya-Allah akan datang perkara-perkara baru dalam hidup. Perkara ini selalunya membolehkan kita menyingkap hikmah kejadian lalu yang berlaku atas diri kita.
- Menambahkan kefahaman terhadap isu yang berkait langsung dengan komen ini, iaitu qada’ dan qadar Allah SWT.
Komen ini berkait langsung dengan kefahaman kita terhadap qada’ dan qadar Allah SWT. Jawapan ini adalah hasil pemahaman saya setakat ini dan tidak terikat semata-mata dengan soalan di atas, tetapi mencakupi perkara lain dalam kehidupan.
Ilmu Allah SWT, Tuhan yang menciptakan sekalian alam dan memeliharanya sedari awal adalah terlalu luas. Allah mengetahui dan mengawal setiap perincian alam ini, daripada pusingan satu elektron yang mengorbit nukleus sesuatu atom hingga kepada putaran setiap planet, gas dan batuan yang bertebar di seluruh alam semesta(yang bilangannya ibarat jumlah bilangan butir pasir di bumi dengan gandaan 7!). Tidak ada suatu apa pun yang terlepas daripada ilmuNya.
Allah mengetahui secara rinci hal-hal yang telah lalu (past), sedang (present), dan yang mendatang (future). Ianya meliputi hal yang ghaib dan tidak tercapai dek pengetahuan kita dan semestinya yang zahir pada pandangan manusia.
Dikatakan, jika dihimpun pengetahuan manusia terhadap dunia zahir ini seluruhnya, kita baru mengkaji 3% daripada keseluruhan kapasiti alam zahir ini(ilmu sains tulen, sains sosial dsb.). Manusia terlalu kerdil. Pengetahuan kita sangat terbatas dan tidak ada kelayakan untuk dibandingkan dengan ilmu Allah (yang jika semua pokok di dunia dijadikan pena, dengan semua air lautan menjadi dakwat dan digandakan 2 tidak juga tidak terungkapkan keluasan ilmuNya).
Manusia dikurniakan segala kelengkapan yang diperlukannya menjalankan tugasan sebagai al-’Abd(hamba) dan khalifah Allah SWT di muka bumi. Pengetahuan manusia terhad tetapi memadai untuknya meneruskan kehidupan ini.
Manusia belajar melalui pengetahuannya di masa lalu(pengalaman, pemerhatian dsb.) dan apa-apa yang sedang dilakukannya. Tetapi manusia tidak langsung mengetahui secara pasti akan apa-apa yang akan berlaku di masa hadapan, melainkan yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Ar-Rasul saw (kejadian kiamat, perhimpunan di padang mahsyar, mizan, titian sirat dll.). Melalui ilmu-ilmu ini, manusia mempelajari sunnatullah, ketetapan Allah dalam mentadbir alam ini.
Sunnatullah diungkapkan oleh manusia dalam ilmu sains, petua, kebiasaan, tips dan hukum sebab-akibat. Bila buat A, jadi B. Bila buat C, jadi D. Hukum ini telah ditetapkan oleh Allah SWT. Contoh mudah, bila lapar, manusia makan, bila makan manusia kenyang. Api sifatnya membakar. Bila diacu pada kertas, kertas terbakar. Untuk berjaya dalam bidang akademik, kita perlu belajar bersungguh-sungguh, bila belajar bersungguh kita berjaya. Manusia hidup dengan hukum ini. Hukum sebab-akibat.
Haram bagi Allah SWT Zalim
Apa yang perlu kita ketahui, Allah Azzawajalla, Rabb(Tuhan), Malik(Penguasa) dan Ilah manusia bebas daripada sebarang pengaruh makhluk. Allah SWT bekerja dengan kehendakNya sendiri tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. Bahasa mudahnya, Allah bertindak mengikut kesukaanNya.
Mengikut kesukaanNya BUKAN bermakna sesuka hati hingga melanggar sifat-sifatNya suci, tertinggi dan mulia. Kita perlu pantakkan(tanamkan) dalam-dalam di hati sanubari kita bahawa Allah SWT telah MENGHARAMKAN KEZALIMAN kepada diriNya. Allah berfirman di dalam Al-Quran:
Maksudnya: “KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, Dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Ku.” (Qaf: 29)
Dalam satu hadith Qudsi yang panjang, diriwayatkan oleh Imam Muslim, Allah SWT berfirman:
Daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah saw, berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Allah berfirman: “Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku menjadikannya haram di kalangan hambaku sebagai perkara yang diharamkan. Maka janganlah kamu saling menzalimi antara satu sama lain….”
Zalim pada definisinya adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Allah SWT tidak akan sekali-kali berlaku zalim, memberikan yang bukan hak kepada seseorang, menimpakan musibah secara semberono(membuta tuli) melainkan jika itu terjadi pastilah ia bersandarkan kepada keadilan Allah yang amat tinggi.
Secara asasnya, hukum sebab-akibat akan terus berjalan dengan kehendakNya. Tetapi, Allah SWT punya kekuasaan untuk mentakdirkan selain kebiasaan yang dilazimi dalam kehidupan manusia. Seperti contoh api yang diperintahkanNya menjadi nyaman tatkala Nabi Ibrahim a.s. cuba dibakar hidup-hidup oleh Namrud. Api yang punya sifat membakar tidak membakar bahkan menyamankan! Juga dengan kisah Nabi Isa a.s. yang dilahirkan oleh ibunya, Maryam binti Imran tanpa beliau disentuh oleh mana-mana lelaki. Semua yang berlaku ini adalah diluar kelaziman atau disebut luar biasa. Tetapi Allah sangat bisa melaksanakannya.
Tugas Manusia
Manusia perlu berusaha.
- Manusia perlu berusaha untuk memilih, menyusun dan melaksanakan sebab-sebab untuk mencapai sesuatu akibat, keputusan atau disebut juga natijah. Jika lapar, makanlah agar kenyang. Jika dahaga, minum agar hilang dahaganya. Manusia diberikan kapasiti untuk menentukan dan menjalankan sebab dengan pengetahuannya(pengalaman, ilmu dsb.) bahawa sebab A membawa kepada keputusan B dan selanjutnya. Doa adalah sebahagian daripada usaha dan tergolong dalam katergori sebab. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.” (Riwayat at-Tirmizi). Para anbia’ a.s. juga senantiasa berdoa disepanjang perjuangan dakwah mereka.
- Manusia perlu berusaha untuk mencari hikmah disebalik tiap kejadian. Baik atau buruk kejadian itu pada pandangan manusia pasti ada hikmah yang boleh diamati dan diteliti. Mencari hikmah akan menjadikan manusia tenang dengan apa-apa yang berlaku pada dirinya.
Keputusan
Usaha-usaha di atas adalah usaha sebelum(pre-) dan selepas(post-). Adapun perkara yang sering menjadi perhitungan manusia adalah KEPUTUSAN.
Keputusan itu adalah urusan Allah. Kemenangan, kekalahan, kejayaan, kegagalan, atau apapun label yang diberikan tergolong dalam kelompok perkara yang dipanggil keputusan. Tetapi ingat sekali lagi, bahawa Allah SWT tidak zalim. Kerana itu, kita melihat banyak orang-orang yang tidak beriman denganNya sekalipun turut diberikan kejayaan, kemenangan sekiranya mereka menepati sebab-sebab yang membawa keputusan tersebut. Pelajar bukan Islam berjaya dalam bidang akademik mereka kerana mereka berusaha dengan menelaah pelajaran mereka bersungguh-sungguh. Allah tidak akan zalim dengan menggagalkan semua orang kafir dalam semua perkara di dunia ini! Itu sekali-kali tidak akan berlaku. Dengan sifat Ar-RahmanNya(Yang Maha Pemurah), hukum sebab-akibat berjalan kepada semua makhluknya di muka dunia yang fana’(tidak kekal, akan binasa) ini.
Kelebihan Kita
Orang mukmin hidup dengan sifat Rahman(Maha Pemurah) dan Rahim(Maha Penyayang) Allah Azzawajalla. Jika tadi, pelajar bukan Islam belajar dan berjaya, mereka hanya mendapat kejayaan di dunia. Orang mukmin yang melakukan perkara yang sama mendapat DUA. Kejayaan dan PAHALA atas segala usaha yang dicurahkannya semasa belajar. Usaha orang-orang yang ingkar kepada Allah tidak dikira sebagai usaha yang mendatangkan pahala. Maka mereka hanya mendapat SATU; kejayaan(di dunia). Tidak ada sebarang ganjaran akhirat yang mereka peroleh.
2:1 bukanlah satu perbezaan yang banyak?
Tahukah kita bahawa nanti seusai usia manusia di dunia(yang amat singkat), kita akan hidup SELAMA-LAMANYA di alam yang dipanggil akhirat? Alam yang hanya ada 2 destinasi akhir iaitu SYURGA dan NERAKA.
Kepada mereka yang BERAT TIMBANGAN AMAL SOLEHNYA(pahala daripada semua kebaikan yang dilakukan di dunia) akan Allah SWT masukkan ke dalam syurga yang banyak diberita dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw.
Ketika itu nilai kejayaan didunia yang dimegah-megahkan sudah tidak ada lagi. Keputusan adalah sebahagian daripada nikmat dunia yang tidak kekal.
Jadi, apakah tidak perlu kita berjaya? TIDAK!
Bahkan Islam adalah agama yang menyuruh umatnya supaya menjadi orang yang berjaya dalam tiap lapangan yang mereka kerjakan. Dan fitrah manusia itu senang dengan kejayaan dan kemenangan. Maka kita perlu berusaha untuk mengatur dan menjalankan sebab-sebab yang membawa natijah yang dipanggil kejayaan.
Allah SWT bermurah lagi dengan para hambaNya. Allah merahsiakan keputusan dan diajarkan kepada kita satu sifat yang sangat mulia, yakni tawakkal. Firman Allah SWT:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(Ali Imran 003:159)
Tawakkal atau berserah diri bulat-bulat(keseluruhannya) kepada Allah setelah berusaha adalah sifat yang terpuji. Ia mengajar kita akan satu hakikat yang selalu kita lupa; bahawa kita selamanya HAMBA kepada Allah SWT. Allah telah memberikan kita sekalian banyak nikmat yang tidak pernah tercukupkan syukur kita kepadaNya. Allah menguasai segenap inci tubuh dan apa-apa milikan(harta-benda) yang kita ada. Tidak pernah hamba layak untuk mempersoalkan penguasanya. Apatah lagi penguasa itu adalah Dia yang menjadi Rabb, Malik dan Ilah kita.
Kadangkala kita yakin dengan keyakinan yang salah. Bahawa kuasa menentukan keputusan itu letaknya pada apa yang kita namakan USAHA. Kita rasakan kita sudah berusaha dan usaha itulah yang sepatutnya dan semestinya membawa natijah yang kita inginkan. Dan terkadang kita melupakan bahawa Allah SWT-lah yang mendatangkan keputusan. Kita sangat bergantung kepada Allah SWT.
Satu ‘ibrah(pengajaran) yang amat baik boleh kita pelajari daripada sirah Nabi saw. Islam adalah agama Allah, agama yang benar dan agama yang suci. Maka logika manusia memahami agama yang gah ini akan selalunya menang dan selamanya disanjung manusia. Tidak.
Dalam peperangan Uhud bukankah ketumbukan tentera Islam dikalahkan oleh kaum kafir Quraisy yang dipimpin Khalid bin Al-Walid? Dalam peperangan Hunain bukankah kita telah dikalahkan walaupun pada ketika itu bilangan tentera dan kelengkapan perang umat Islam jauh besar dan hebat daripada pihak musuh?
Mengapa? Bukankah Allah akan memenangkan hambaNya yang beriman?
Muhasabah
Bila kejayaan masih tidak bersama dengan kita, pasti ada sesuatu yang amat besar boleh kita pelajari. Para sahabat membayar harga yang sangat mahal(yakni dengan jiwa, darah dan air mata) untuk mempelajari tentang kesilapan mereka.
Perang Uhud mengajar bahawa arahan Nabi Muhammad saw adalah arahan yang sama sekali tidak boleh diingkari. Perang Hunain mengajar bahawa sebab(bilangan tentera, kelengkapan senjata dll.) tidak menjadi faktor penentu hingga kebergantungan kepada Allah SWT berkurangan.
Sesuatu itu lazimnya tidak akan terjadi melainkan ada sebabnya. Kekalahan, kegagalan juga menuntut sebab. Ada sebab-sebab yang bila kita laksanakan akan membawa kepada kegagalan dan kekalahan.
Bila itu terjadi, tugas kita adalah untuk bermuhasabah. Kembali merenungi ke dalam diri. Amalan-amalan kita yang lalu. Selalunya kesilapan itu datangnya daripada kita.
Kita tidak selalunya betul dan benar.
Ego bukanlah benteng yang baik untuk menyelimuti kesalahan kita.
Boleh jadi keputusan itu adalah kaffarah(penebus) kepada dosa-dosa dan kesilapan kita yang lalu.
Mengaku dan kembali bertaubat kepada Allah adalah sebaik-baik jalan kerana sebaik-baik anak Adam yang membuat kesalahan adalah mereka yang bertaubat.
Ada banyak sebab-musabab yang membawa kepada kejayaan. Begitu juga dengan kegagalan. Ada 1001 asbab yang membawa kepadanya. Hanya mungkin ada yang sudah terdaftar dalam pengetahuan kita dan ada yang masih belum kita ketahui; oh rupanya kelakuanku yang sebegini itu silap, merupakan satu dosa. Lalu renunglah ke dalam lubuk hati kita. Bermuhasabah. Berbincang dengan dengan sesiapa yang kita rasakan boleh menasihati kita.
Ujian
Adapun yang terjadi di dunia ini bukan semuanya berbentuk akibat-musibah(kaffarah). Sebaliknya, kadangkala ia adalah ujian daripada Allah SWT.
Mengapa ada para ulama’ dan orang-orang soleh dahulu yang hidupnya tidak senang seperti yang kita bayangkan? Hidupnya nampak lebih berupa musibah daripada kebahagiaan dan kedamaian. Imam Ahmad bin Hanbal disiksa. Ibnu Taimiyyah hidup di dalam penjara lebih lama daripada masa bebasnya di dunia luar. Imam Syahid Hasan Al-Banna mati ditembak. As-Shahid Syed Qutb yang mati di tali gantung. Bukankah para ulama’ dan orang-orang soleh lebih takutkan Allah, tinggi ketaqwaan mereka dan hidup dengan mendatangkan sebab-sebab yang membawa kepada keredhaan Allah?
Kerja Allah SWT sangat halus, unik dan tersendiri.
Terlalu banyak perkara yang tidak terungkapkan oleh ilmu pengetahuan manusia. Allah kadangkala menunjukkan kasih sayangNya dengan jalan yang tidak tersangka-sangka oleh kita. Allah kadangkala menunjukkan murkaNya dengan jalan yang tidak terjangka oleh manusia.
Bukankah Firaun adalah manusia yang menjadi simbol setinggi-tinggi keingkaran manusia dengan menyamakan dirinya dengan Tuhan hingga diulang-ulang kisahnya di dalam al-Quran? Firaun yang mengaku tuhan itu bahkan hidup dengan penuh kemewahan, kekuasaan, kekuatan dan kesihatan(hingga ada riwayat yang menyebut Firaun tidak pernah dijangkiti demam sekalipun) yang tiada tolok banding di zamannya. Semua nikmat yang diimpikan sekalian banyak manusia. Bagaimana?
Akhirnya, persoalan yang diambil kira adalah perhitungan di akhirat kelak. Ke mana destinasi akhir Firaun dan ke mana pula destinasi para anbia’, solihin, dan siddiqin(orang-orang yang berpegang kepada kebenaran)? Mereka yang berada di jalan kebenaran tatkala diuji bersifat dengan satu lagi sifat yang sangat tinggi dan mulia yakni sabar.
Ilmu manusia sangat terbatas. Sebagaimana satu tulisan yang membawa anologi menarik untuk menggambarkan perkara ini.
Kita apabila melihat ke arah lautan, apa yang ternampakkan oleh mata kasar kita adalah garisan lurus yang kita panggil horizon. Adakah sebenarnya horizon itu wujud? Oh, tidak. Horizon adalah hasil daripada keterbatasan penglihatan manusia. Horizon merupakan laut juga!
Betapa kerdilnya diri kita!
Nasihat
Adapun orang ‘alim menyebut, apabila bertembung dua perkara ini; musibah yang berbentuk kaffarah dan ujian, maka pilihlah kaffarah. Kita anggap apa yang berlaku pada diri kita adalah kaffarah kepada dosa dan kesilapan kita yang lalu. Lalu bertitik-tolak daripadanya kita mengkaji kesilapan diri, memperbaiki dan meneruskan kehidupan pada tingkatan yang berbeza daripada sebelumnya(menjadi lebih baik). Berbanding kita menganggapnya ujian(yang lazim menguji orang-orang soleh)-takut-takut kita merasakan diri kita sudah tinggi solehnya hingga Allah datangkan ujian sedemikian rupa-takut timbul riak, ‘ujub dan lain-lain penyakit hati.
Dan seperkara lagi, jangalah kita berputus asa daripada rahmat Allah. Firman Allah SWT:
Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… (al-Zumar: 53)
Allah tidak menetapkan sesuatu yang tidak tertanggung oleh kita. Firman Allah SWT:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): ” Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (al-Baqarah: 286)
Perhatikanlah detik-detik kehidupan kita selepas satu-satu peristiwa itu berlaku. Rendahkanlah diri kita. Jangan terus-menerus ego dengan menganggap diri kita sentiasa betul dan benar. Insya-Allah kita akan dapat mempelajari banyak perkara dan kita akan lahir sebagai seorang yang lebih berhikmah(wiser) dengan pengalaman yang telah kita tempoh. Ada banyak perkara yang kita rasa buruk sebenarnya baik untuk diri kita. Dan betapa banyaknya perkara yang kita rasakan baik sebenarnya buruk untuk kita.
Setelah beberapa bulan dari masa keputusan SPM 2008 keluar dahulu, saat ini sudah menyaksikan ramai di antara kalian yang menjejakkan kaki ke institusi pendidikan. Baik namanya universiti awam, swasta, politeknik, atau tempat kerja. Kerana institusi pendidikan tidak hanya berupa formal, malah wujud juga yang tidak formal seperti tempat kerja. Jika kita belajar dengan rendah hati, insya-Allah kita akan lahir sebagai insan yang tinggi nilaiannya di dalam masyarakat dan di sisi Allah SWT.
Semoga tulisan ini bermanfaat buat yang bertanya dan kalian yang membacanya.
Wallahu’alam.
Bacaan tambahan:
































































3 Comments
July 6, 2009 at 7:21 am
salam wbt,
sangat menarik post ini, kebetulan malam ini result ib 2009 akan keluar. Masih terus berdoa untuk yg terbaik dari-Nya.
July 7, 2009 at 12:14 am
an excellent piece amie! syukur la, semoga adikmu ruzanna memahami akan keadaannya sekarang….
sememangnya “Kerja Allah SWT sangat halus, unik dan tersendiri”….x mampu untk kita selami kecuali dgn mata hati….
July 15, 2009 at 2:59 pm
nice piece of article…really hope u can become our PM one day