June 20, 2009...4:37 pm

Apa Ertinya Menjadi Bapa?

Jump to Comments

Bapa, ayah, abi, daddy, papa, atau apa sahaja panggilan yang membawa maksud sama. Pastinya kita masing-masing punya kenangan yang tersendiri dengan insan istimewa ini. Biarpun pengalaman itu ada yang pahit dan ada yang manis, namun semuanya boleh menjadi teladan dan sempadan untuk generasi mendatang mempelajari satu ‘kerjaya’ yang amat mencabar dan penuh dengan liku-liku dan dugaan.

Menjadi seorang bapa.

Untuk itu, lensahati pada kali ini telah mengundang abah (Hj. Abd Razak bin Hj. Ahmad) untuk berkongsi pengalaman selama hampir 25 tahun beliau bergelar seorang bapa.

4 soalan telah diajukan, dan dalam himpunan soalan-soalan yang ringkas ini, abah telah memberikan jawapan-jawapannya yang saya kira amat penting untuk kita generasi muda dan bakal-bakal bapa(insya-Allah) teliti dan amati. Jawapan yang ringkas, padat serta bermakna.

Berikut saya sertakan set soal-jawab tersebut.

lensahati: Apa ertinya menjadi seorang bapa?

Abah: Tanggungjawab, tanggungjawab dan more tanggungjawab…kehidupan sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab tidak akan dapat lari daripada tanggungjawab untuk memberikan pelindungan kepada ahli-ahli keluarga dan harta-benda dan membesar dan mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil dan beriman.

lensahati: Dalam membesarkan 6 orang anak, apakah pengalaman yang paling menggetirkan dan apa pula yang mengembirakan?

Abah: Menggetirkan apabila anak-anak abah ditimpa musibah terhadap diri mereka.

Mengembirakan apabila melihat anak-anak abah yang beriman dan berjaya serta bahagia di dalam bidang pilihan masing-masing sama ada kerjaya atau pasangan masing-masing.

lensahati: Apakah antara kualiti penting untuk menjadi seorang bapa?

Abah: Beriman dan berilmu dan mempunyai sifat sabar dan tawakkal kepada Allah.

lensahati: Apakah nasihat kepada bakal dan bapa-bapa muda?

Abah: Tanamkanlah sifat sabar sedalam-dalamnya di dalam jiwa anda kerana setiap detik kehidupan yang anda akan lalui sebagai seorang bapa adalah merupakan ujian dari Allah… Jadi, persiapkanlah diri anda dengan sifat kesabaran yang tinggi untuk menghadapinya kerana keluarga anda bisa sahaja berubah menjadi musuh (di dalam selimut) yang akan memusnahkan keimanan anda (bapa-bapa) jika tidak berhati-hati dan tegas.

Buatlah yang terbaik sebagai seorang bapa dan ketua keluarga terhadap ahli keluarga dan anak-anak anda dengan seikhlas-ikhlasnya dan bertawakkallah selepas itu…bahawa sesungguhnya kita para bapa tidak mampu untuk menjaga keseluruhan ahli keluarga kita pada setiap masa kerana kita juga adalah insan kerdil yang hanya mampu membuat apa yang diizinkan oleh Allah jua…

-Tamat-

Demikianlah, sesi soal-jawab yang ringkas. Tetapi saya sendiri amat tertarik dengan pengertian menjadi seorang bapa yang disinonimkan dengan tanggungjawab. Ya, barisan anak-anak muda hari ini, termasuk saya, kebanyakannya hidup dalam keadaan yang selesa. Walhal, sebenarnya terlalu banyak perkara yang berjalan di sebalik tabir. Kesenangan dan keselesaan tidak datang tiba-tiba tanpa ada sebarang usaha, pengorbanan tenaga, masa, keringat dan idea.

Dek kerana usaha-usaha ini selalunya dirahsiakan daripada pengetahuan kita (anak-anak),  maka ramai di antara kita yang tidak tahu, mengambil mudah, memandang enteng dan tidak peduli akan peranan seorang bapa dalam kehidupan berkeluarga. Kita hanya tahu berseronok dan mengejar keseronokan. Selalu lari daripada kesusahan dan apa-apa yang kita anggap melecehkan.

Suatu hari nanti, bila bergelar pula kita sebagai seorang ayah, nah, di sana barulah kita mengetahui betapa tingginya keazaman dan dalamnya pengorbanan yang perlu diberikan demi menakhodai bahtera bernama keluarga meredah lautan kehidupan yang selalu bergelora.

Hari bapa bukan sahaja perlu untuk kita mengenang jasa para bapa. Tetapi, kita (yang belum menjadi bapa) perlu mengambil iktibar, menanamkan tekad, dan bermula dengan usaha-usaha yang positif ke arah mempersiapkan diri bagi memimpin bahtera kepunyaan kita kelak.

Belajarlah daripada bapa yang masih ada. Kerana pengalaman tidak dapat dibeli dengan apa cara sekalipun. Pengalaman yang membezakan antara seorang dengan seorang yang lain. Dan dengan pengalaman jugalah kita dapat mengorak langkah, maju ke hadapan, mengelak daripada terperangkap atau terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan lalu yang pernah dilakukan oleh generasi lalu.

Jika kita berterusan mengambil sikap endah tak endah, maka kerugian bersama-sama kita.

Hari Bapa seharusnya mengingatkan kita tentang kepimpinan, ketabahan dan kecekalan hati seorang manusia biasa yang bergelar bapa. Tinggi harapan mereka untuk melihat anak-anaknya berjaya. Mereka tidak pernah meminta untuk dibalas jasa mereka dengan lambakan wang dan harta kekayaan, kerana di hari mendatang, semua itu bukan buah kegembiraan.

Tetapi kita, kita anak-anak mereka inilah yang selalu mendampingi dan menjaga mereka, akan menjadi harta yang tiada tolok banding nilaiannya.

Bagi mereka yang sudah ketiaadaan bapa, maka doa dan amal kebajikan kita sebagai anak yang soleh akan boleh mendatangkan manfaat kepada mereka. Kerana bagi yang membolehkan seseorang mukmin itu berbuat kebajikan, maka bagi mereka pahala yang sama seperti orang yang melakukan kebajikan tersebut, tanpa sedikit susut sekalipun!

Wahai lelaki, tanggungjawab ini amat berat. Tanggungjawab ini yang selalu kau cari dan kau impi selama sebelum kau menjadi. Semoga Allah, dengan kekuasaan dan kasih-sayangnya menjadikan kita barisan bapa yang melahirkan generasi pewaris Islam yang soleh dan musleh. Kerana tanggungjawab ini merupakan satu amanah daripada Allah Azzawajalla.

keluarga

Terima kasih abah :D
Selamat Hari Bapa.

annajm5
Cheras
Kuala Lumpur

Leave a Reply