
Saya amat menggemari animasi-animasi yang dikeluarkan oleh Studio Ghibli yang beribu pejabat di Jepun. Cerita-ceritanya selalu berkualiti dan dipersembahkan dalam bentuk yang menarik. Sungguh kadang-kala hingga tak terperi akan fantasi yang digaulkan dalam menghasilkan filem mereka seperti animasi Laputa: Castle in the Sky (1986) dan Spirited Away (2002) yang menjadi filem animasi pertama memenangi Academy Award (Oscar for Best Animated Feature).
Sungguhpun begitu, ada juga cerita animasi yang lebih berpijak di bumi nyata, seperti filem Hôhokekyo tonari no Yamada-kun atau terjemahan bahasa Inggerisnya: My Neighbors The Yamadas.
Filem ini memaparkan kehidupan keluarga orang kebanyakan Jepun. Pasangan Yamada Takashi dan Yamada Matsuko yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga, tinggal bersama dua orang anak Yamada Noboru dan Yamada Nonoko serta ibu kepada Yamada Matsuko, Yamano Shige.
Sungguhpun filem ini diterbitkan hampir 10 tahun yang lalu (1999), namun kualiti atau nilai-nilai murni yang dapat kita pungut sebagai pengajaran tidak akan pernah lusuh biarpun cerita itu dikarang beribu tahun sebelum era kini.
Cerita ini mengisahkan turun naik kehidupan berkeluarga. Tidak ada krisis yang besar (seperti pergaduhan yang menghampiri perceraian atau kematian tragis), hanya kehidupan biasa. Tetapi apabila kita memandang sebagai penonton kepada kehidupan yang biasa ini, barulah kita dapat menganalisa akan banyak perkara yang selalu kita terlepas pandang disebabkan label BIASA.
Biasa adalah perkara yang selalu kita lakukan, atau mudahnya disebut rutin. Seorang ayah biasa keluar dan balik daripada kerja. Seorang isteri biasa melayan suami secara biasa-biasa sahaja. Begitu juga si suami. Seorang anak biasa pergi dan pulang daripada sekolah. Pasangan suami isteri biasa menghadiri majlis perkahwinan. Sebuah keluarga biasa berselisih faham dalam hal-hal yang pelbagai. Anak dan ibu bapa biasa menghadapi masalah generation gap. Dan pelbagai lagi kebiasaan lain.
Kebiasaan lazimnya datang dengan masa dan kehidupan yang monotonous (kurang atau tiada variasi).
Apa yang menarik, manusia bila lari daripada kebiasaan, barulah dia sedar betapa kebiasaan yang ditempuhnya saban masa itu adalah sesuatu yang sangat besar ertinya. Seperti kebolehan kita menggerakkan jari-jemari, atau membuka dan menutup mulut. Terlalu biasa hingga kita jarang-jarang perasan tentangnya. Melainkan bila kebiasaan itu hilang. Sungguhpun sebentar, kita sudah tidak selesa yang amat.
Hidup berkeluarga tidak akan selalu hangat seperti kebanyakan kita yang muda-muda ini merasakannya. Bila yang khayal dengan cinta sebelum mendirikan rumahtangga, dia menjangkakan yang semua itu akan kekal indah sampai ke akhirnya.
Hakikatnya, seperti suhu persekitaran, ada masanya ia naik dan ada masanya ia turun. Maka untuk mengekalkan ‘suhu’ itu pada tahap optimum agar perjalanan kehidupan dapat diteruskan, ia mendambakan usaha yang senang dicoret dan ditulis tetapi bukan mudah untuk diamalkan.
Kebiasaan yang nanti menyelimuti kehidupan akan menjadikan kita rasa ‘tak apa’, biasa sahaja. Apa yang menjadikan hal ini sedemikian?
Paradigma.
Gaya kita melihat dan menilai sesuatu perkara. Semua ini melibatkan elemen-elemen asas dan dalaman manusia. Akal dan hati. Selalunya kita ada gambaran awal tentang sesuatu perkara itu penting. Tetapi manusia itu pelupa. Entah perkara itu sedikit masa mendatang letak di celah lipatan otak yang mana, dia pun melupainya.
Manusia ini pelupa.
Lihat sahaja kepada perkakasan yang anda miliki di sekeliling anda. Komputer yang sedang anda gunakan, jam tangan, beg duit, hand phone dan sebagai. Suatu ketika dahulu kita pernah menyimpan perasaan ‘bermati-matian’ hendak memilikinya. Apabila sudah digenggaman, acap kali diguna, ceritanya biasa berbeza. Bila hilang, barulah gelisah tak berkesudah.
Kita tahu solat itu penting dan kesan menunaikannya secara paling sempurna, berjemaah dan dilaksanakan di musolla itu tuntutannya. Tetapi terkadang, kerana biasa, kita pun terlupa. Lupa dengan lalai di dalam solat. Mengerjakannya asal cukup syarat. Hingga selalu juga lupa bilangan rakaat.
Apa yang lebih menakutkan adalah kita terlupa dek kebiasaan hidup kita yang senang dan mewah akan kebergantungan kita kepada Allah. Kita lupa hendak bertawakkal kepadaNya. Kita lupa hendak berdoa kepadaNya, apatah lagi ada yang lupa untuk tunduk menyembahNya!
Oleh kerana itu, kebiasaan ini perlu ditemani dengan peringatan-peringatan berkala. Perkara yang biasa dan rutin selalunya dilupakan. Maka apa yang selalu manusia ingat? Barang yang baru-baru.
Jam baru, komputer baru, beg duit baru, pasangan hidup baru, baru dapat lesen kereta dan semua lain yang baru. Yang baru ini diminati, ditekuni, dilayani dan diamati sebaiknya. Sampai ia menjadi satu kebiasaan dan lupa menyelubunginya. Maka perlulah kita kepada peringatan. Perlukan kepada pembaharuan.
Saya sungguh tertarik dengan pengertian bacaan sujud sahwi. Sujud yang dilaksanakan ketika kita terlupa perkara-perkara tertentu di dalam solat.
![]()
Mafhumnya;
Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.
Itulah Allah, Ilah yang tidak pernah lalai, apatah lagi alpa. Tuhan yang mengetahui tentang segala sesuatu perkara dan akan kekal mengingatinya sampai bila-bila.
Ampunkanlah daku ya Allah, jika dengan kealpaanku, aku mengingkariMu.
Nabi saw juga berpesan agar kita senantiasa memperbaharui iman kita. Kerana iman juga sifatnya terdedah kepada pencemaran yang boleh menjadikannya lusuh dan tidak lagi bergemerlapan.
Kehidupan yang selalunya indah dalam imaginasi manusia bukanlah suatu imaginasi yang utopia, tetapi boleh diusahakan mengikut kadar kemampuan kita. Kesempurnaan tidak akan menjadi titik puncak, tetapi menghampirinya sudah memadai.
Apa yang saya rasa boleh dikutip daripada filem animasi ini adalah tentang realiti kehidupan orang biasa zaman ini yang tidak banyak lari walaupun kita berbeza latar budaya dan agama.
“Pelangi tak selalu di kaki langit. Tetapi jika kita gagah menempuh hari demi hari yang mendatang, insya-Allah, kita akan bertemu dengan pelangi lagi!”
Filem yang ditayang berdasarkan manga yang dilukis oleh Hisachi ISHII ini telah berjaya mendapat Anugerah Cemerlang dalam Festival Media dan Kesenian Jepun pada tahun 1999.
Bagi yang belum menontonnya, bolehlah mencari dari mana-mana sumber yang patut. Saya pun dapat daripada perkongsian pelajar se-universiti menerusi jaringan intranet kira-kira setahun lalu.
Wallahu’alam
annajm5
Cheras
Kuala Lumpur






























































4 Comments
June 19, 2009 at 1:57 am
menarik.
June 19, 2009 at 6:35 am
Salam. Nice article Nazmie.. lama dah rasanya tak singgah sini..
By the way, hana lagi prefer cerita-cerita arahan Hayao Miyazaki , kalau dari Sudio Ghibli.. Isao Takahata ok juga, tapi My Neighbour The Yamadas ni bagi hana kurang menarik sikit.. cepat bosan..
Oklah, tu je.. Wassalam
June 19, 2009 at 6:36 am
oops, salah eja.. **Studio Ghibli
June 19, 2009 at 8:50 am
Terima kasih danial atas kunjungan anda
@ Hana
Wslm.
Hayao Miyazaki adalah antara pengarah yang mengarahkan filem animasi di bawah terbitan Studio Ghibli. Studio Ghibli ni ada banyak pengarah yang pernah bekerja di bawah mereka. Spirited Away yang saya sebut di awal artikel adalah arahan beliau dan diterbitkan oleh Studio Ghibli. My Neighbour The Yamadas memang boleh jadi cepat bosan kerana tidak dramatik, hanya paparan kehidupan keluarga biasa. Tetapi itulah yang menarik! Kerana disebalik kebiasaan itu kita cuba mencari formula keluarbiasaan dan menghargai kebiasaan yang biasa kita lalui.
Dari segi fantasi dan jalan cerita, pastinya lebih banyak animasi lain mendahului animasi ini. Boleh baca lebih lanjut tentang Hayao Miyazaki di:
http://en.wikipedia.org/wiki/Hayao_Miyazaki