June 19, 2008...1:08 am

Baru itu Menyegarkan

Jump to Comments


Rumah baru di Seksyen 9 (^_^) Belum beri nama lagi…hmm…ada cadangan?

Setelah sebulan lamanya, blog ini tidak menghidangkan paparan baru. Kini, lensahati kembali dengan wajah terkini dan kemaskini pada bahagian tertentu.

Yang baru itu selalunya mengujakan. Juga menyegarkan dan menarik perhatian. Baru itu mungkin apa-apa yang pernah diimpikan lalu sampai saatnya, hal itu menjadi kenyataan. Barang yang diingini berjaya dimiliki. Orang yang disukai selamat menjadi suri hidup diri. Baru selalunya menyemarakkan semangat, membulat tekad.

Begitulah selalunya dalam hidup kita.

Di awal-awal semester, tahun atau sesi persekolahan baru kita bersemangat dan bertekad untuk berjaya dengan cemerlang dalam menempuh tempoh tersebut. Semangat itu biasanya melonjak-lonjak, bergejolak. Itu fitrah manusia. Bergembira dengan perkara baru yang menyenangkan.

Alhamdulillah, saya kini sudah pun siap berpindah ke rumah baru kami di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Sibuk memindahkan barang-barang teman-teman serumah dan saya daripada rumah sewa sebelum ini di Sungai Ramal Dalam, Kajang. Kami bercadang asalnya untuk menyewa sebuah lori. Tetapi memandangkan harga minyak yang telah naik, kami khuatir akan jumlah belanja sewanya akan menyamai pembelian perabot baru!

Mujur teman kami, Abd Shakur bin Zamani menghulurkan pelbagai bantuan, baik dari sudut fizikal, fiskal, tenaga, masa dan lainnya yang tak terungkap semasa proses pemindahan ini berjalan. Beliau bermurah hati memberikan Jip Pajero-nya sebagai galang ganti kepada lori yang tak kunjung tiba. Kereta Kenari Hakim dan Kancil Faiz juga sama membantu. Kerja yang banyak menjadi sedikit apabila sama rata dibahagi. Kerja yang lama jadi sebentar cuma bila semua memainkan peranan.


Shakur dengan rumput yang telah dimesinnya. Rumput-rampai dalam kenangan…


Afizhi dan Shakur sedang mengelap lantai menggunakan mop. Asyik mereka sahaja yang bekerja… saya buat apa ya? Oh, ya, ambil gambar mereka bekerja. Terlupa pula :p

Hari pertama kami membersihkan halaman dan lantai bahagian dalam rumah. Shakur memotong rumput dengan mesin yang dibawanya dari rumah. Petang itu juga ibu Hakim yang juga tuan rumah, Puan Noorhayati tiba daripada Putrajaya. Rumah ini ketika itu sedang dipakaiankan langsir oleh pekerja-pekerja yang khas didatangkan daripada Nilai 3. Malam itu Puan Noorhayati telah membelanja kami berempat makan di restoran berhampiran sebagai tanda terima kasih. Kerja masih banyak, tetapi mata sudah berat. Kami tidur pertama kali di rumah baru pada malam itu beralaskan comforter.


Hakim dan Faiz sibuk mengemaskan barang-barang di rumah sewa lama.

Hari-hari mendatang, kerja-kerja memindahkan perabot dari rumah sewa lama ke rumah ini dilakukan. Beberapa kali jip dan kereta yang bertugas berulang-alik, barulah selesai semuanya. Itupun beberapa peringkat, siang dan malam, mana-mana berkesempatan.



Memilih perabot tidak begitu mudah, tetapi pengalaman yang menarik! (dua perabot ini sayangnya tidak dibeli :) )

Sebagai ‘orang baru di luar Uniten’ saya sehelai sepinggang tanpa aset kekal bernama perabot. Maka misi mencari dan membeli perabot juga sama bermula. Baru tahu bagaimana perasaan membeli-belah barang kaum perabot ini. Beberapa kedai awal yang berhampiran dengan rumah meletakkan harga yang agak tinggi. Alhamdulillah, kami berjumpa dengan 2 buah kedai perabot di Seksyen 4 tambahan yang menawarkan perabot dengan harga berpatutan. Saya telah berkongsi dengan Adli membeli katil dua tingkat, meja belajar, kerusi, dan almari pakaian. Selain itu, aset yang dikongsi bersama dengan ahli rumah lain setakat ini adalah almari buku dan almari kecil untuk dapur.


En. Peti Sejuk yang sedang terbaring di bahagian belakang Kenari Hakim.
My first refrigerator?

Kami diberitahu yang salah seorang makcik Hakim di Ampang mempunyai peti sejuk yang tidak digunakan. Maka, petang Sabtu yang lalu, kami ke Ampang menaiki Kenari menjemput peti yang menyejukkan itu.

Lafaz hamdalah selalu menguntum di hati. Kami kini sudah bisa menjalankan kehidupan dengan baik insya-Allah. Allah mengurniakan apa-apa yang kami perlu.


Meja belajar baru :D

Seperti yang kami rancangankan sebelum ini, bilik tidur telah dipisahkan daripada bilik belajar. Hasratnya adalah supaya suasana, kondisi, ambien atau bi’ah yang terbentuk lebih padu dan mantap bagi membantu proses berkaitan pembelajaran, pembacaan dan sebagainya. Itu perspektif yang saya lihat. Mudah-mudahan ianya praktikal dan efektif.

Beberapa perkara telah menarik minat saya untuk merakamkannya dalam kamera.


Bunga di hadapan rumah jiran sebelah yang menarik perhatian. Khabarnya jiran kami ini seorang pegawai polis yang bertugas di Bukit Aman.


Gambar Masjid Hasanah yang berhadapan dengan rumah kami diambil dalam lebih tujuh dedahan cahaya(exposure) berbeza. Digabung menggunakan perisian Photomatix Pro3 (Trial Version). Hasilnya sebuah HDRI (High Range Dynamic Image).

Pengalaman ini adalah yang pertama seumpamanya. Pengalaman pindah masuk ke rumah baru yang melibatkan diri saya sendiri. Saya belum pernah berpindah rumah sebelum ini. Banyak perkara dan barangan baru yang muncul dalam babak-babak hidup saya sekarang. Yang baru-baru itu semuanya menyegarkan!

Sebut tentang barang-barang baru ini, saya juga ingin berkongsi kegembiraan dengan 2 orang sahabat saya yang sudah bermotor baru. Cikgu Afizhi (Kriss) dan Cikgu Wan Hazwazer (TZM). Semoga kalian menunggang dengan cermat dan mendapat manfaat penuh daripada tunggangan kalian itu!


Motor baru Afizhi yang sempat saya rakamkan gambarnya buat waktu ini.

Yang Lebih Baru

Sidang pembaca yang budiman, bagaimanakah nanti keadaannya di syurga Allah SWT yang memang SERBA BARU. Tidak ada suatu perkara pun yang pernah terlihat dan terlintas difikiran manusia tatkala mereka masih di dunia. Hinggakan ada kata-kata yang lebih kurang maksudnya:

“Tidak tinggal di syurga itu apa-apa yang ada di dunia melainkan namanya sahaja.”

Maknanya, jika Allah menyebutkan di syurga ada sungai, sungainya itu tidaklah seperti sungai-sungai yang berada di dunia. Sungai syurga adalah rahsia Allah buat manusia yang akan menghuni tempat istirehat yang maha hebat itu. Masakan sama jika semua perkara belum tersentuh oleh retina mata dan tidak pernah tercetus di balik selirat neuron otak manusia?

Jika warna-warna di dunia ini, yang terbentuk daripada tiga warna asas yakni merah, biru, kuning, pastilah syurga itu diwarnai dengan warna-warna yang belum pernah dimesrai mata. Sangat menyenangkan. Amat menyegarkan. Semuanya baru!

Dunia ini sifatnya fana’, tidak kekal, akan binasa, dan tamat. Semua yang baru di dunia juga akan nanti jadi lama, akhirnya musnah. Jika yang baru itu cantik, teguh dan tegap, nanti lama kelamaan akan jadi hodoh, rapuh dan reput. Perasaan manusia yang asalnya berkobar-kobar lazimnya malap bersama-sama aliran masa. Di awal-awal semester bersemangat. Di pertengahan dan penghujungnya? Mula-mula beli sayang, bela elok-elok, suka belek-belek. Lama-lama?

Bezanya akhirat sifatnya baqa’. Kekal abadi, tidak musnah atau binasa dan tiada kesudahan. Infiniti.

Allah merakamkan gambaran syurga dalam beberapa surah yang dikandung Al-Quran. Antaranya yang tercatat pada surah Al-Insan.

76:006 Iaitu sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.

076:012 Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.

076:013 Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;

076:014 Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.

076:017 Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari “Zanjabil”,

076:018 Iaitu sebuah mata air dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai “Salsabil”.

076:020 Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).

076:021 Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.

Jika kita gembira, gembira itu akan berkekalan tiada berkesudahan. Jika derita, derita itu berpanjangan, entah berjumpa entah tidak dengan pengakhiran.

Soalnya layakkah kita ke sana? Ke syurgaNya?

Allahumma inna nas aluka ridhooka wal jannah…

Teman-teman, selamat menjalani kehidupan baru bersama :D

annajm5
Seksyen 9, Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan.


10 Comments


Leave a Reply