10th: Dasar Pendidikan Kebangsaan

ci_ks112317.jpg

Saya masih dalam exam mode. Hari ini insya-Allah saya akan mengambil peperiksaan subjek Malaysian Studies (MASB113). Bagi mengubat rindu ber-blog, saya paparkan salah satu tugasan subjek ini yang telah saya siapkan. Selamat membaca :D

 

Satu Pengamatan dan Kritik Membina

Dasar adalah fundamental bagi sesuatu perkara. Namun apabila kita membicarakan tentang Dasar Pendidikan Malaysia, frasa dasar tidak lagi hanya membawa konotasi asas, tapak atau falsafah semata-mata. Sebaliknya, dasar di sini membawa makna yang lebih luas dan holistik. Hal-hal yang berkaitan dengan dasar yang lahir daripada Penyata Razak (1956) dan Ordinan Pelajaran 1957 ini telah mengalami pelbagai revolusi dan penambahbaikan setelah melalui beberapa era pascamerdeka. Cabaran atau tuntutan semasa yang semakin kompleks menyebabkan wujud respons dinamik, terpantak pada Dasar Pendidikan Kebangsaan edisi revisi.

Berteraskan Falsafah Pendidikan Negara, generasi yang mahu dihasilkan daripada sistem pendidikan negara adalah generasi bersatu-padu yang seimbang dan harmonis daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Nilai-nilai murni dan integriti cuba disemai, kemahiran cuba dicanai agar mendatangkan keupayaan dalam diri para pelajar untuk mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan ke arah kemakmuran dan keharmonian masyarakat dan negara. Beberapa strategi pelaksanaan telah dikenal pasti dan dijalankan bagi mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ini diwujudkan. Pada awalnya, Dasar Pendidikan Kebangsaan lebih menumpukan kepada pemupukan perpaduan inter-kaum di Malaysia. Kekal dengan tumpuan ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan kemudiannya meluaskan skop efektifnya secara lebih terperinci. Terdapat lebih daripada 13 strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Hal ini akan cuba kita huraikan secara ringkas.

Bahasa Kebangsaan Bahasa Pengantara Utama

Gambar 3: Sekolah Kebangsaan (A) Bukit Tadom, Dengkil, Selangor. Majoriti muridnya terdiri daripada anak-anak orang asli namun masih menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai pengantara utama. Mata pelajaran bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris wajib diambil oleh setiap pelajar.

“Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”

(Penyata Razak, perenggan 12, 1956).

Bahasa jiwa bangsa. Bahasa berupaya mewujudkan perpaduan antara pelbagai kaum yang sedia ada di Malaysia. Hal ini menjadi salah satu prasyarat yang membawa kepada pembinaan negara bangsa seperti yang diimpikan pemerintah hari ini. Bahasa yang diguna pakai umum untuk berbicara akan mempercepat proses pemindahan maklumat, berupaya mengelakkan salah tafsir, rasa curiga dan memperkaya informasi. Strategi ini dilaksanakan tanpa menidakkan bahasa-bahasa ibunda kaum lain seperti bahasa Cina dan Tamil. Hanya sanya, Bahasa Melayu merangkap Bahasa Kebangsaan perlu digunakan secara optimum seperti dalam urusan rasmi sekolah dan sesi pengajaran dan pembelajaran. Strategi pelaksanaan ke-12 juga menyentuh isu bahasa; Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib diajar di sekolah-sekolah. Namun, dewasa ini, isu pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris mengundang perdebatan mempersoalkan kewajarannya. Kononnya wujud masalah pelajar terutamanya di luar bandar yang mengalami kesukaran dalam menguasai subjek-subjek tersebut perlu diteliti dan diselesaikan.

 

Kurikulum dan Peperiksaan Selaras Untuk Semua

 

 

 

Penyelarasan sistem pendidikan untuk semua jenis sekolah, baik daripada segi kurikulumnya, penilaian dan peperiksaan bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu walaupun mereka datang daripada latar belakang yang rencam. Misi membina Integrasi Nasional ini selaras dengan salah satu cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020. Melalui pelaksanaan strategi ini, kerajaan berharap, input sama akan dapat diproses menghasilkan output yang sama. Kesatuan fikir, misi dan visi dalam diri setiap individu. Namun, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberikan perhatian serius dan ditangani dengan cermat. Masalah yang timbul di kalangan para pelajar adalah masalah nilai ilmu dalam hidup mereka. Kebanyakan daripada para pelajar hari ini merendahkan nilai ilmu kepada markah-markah yang diperuntukkan dalam helai-helai kertas soalan peperiksaan. Kebanyakannya gagal melihat peri penting, dan kegunaan ilmu itu secara praktikal dalam kehidupan. Ada yang hanya belajar untuk mengutip markah tanpa mengetahui tujuan belajar, memahami dan menghargai ilmu yang mereka pelajari. Hal ini mungkin didorong oleh persepsi yang telah terbina dalam masyarakat hari ini; seolah-olah kejayaan mutlak adalah berdasarkan bilangan ‘A’ yang berjaya diperoleh dalam peperiksaan mereka. Media pula ibarat menuang minyak ke atas api, mengarahkan ‘spotlight’ masyarakat ke arah mereka yang berjaya mengumpulkan berbakul-bakul ‘A’. Perkara ini tidak salah, namun perlu dilihat secara adil. Pada pandangan saya, perhatian juga perlu diberikan kepada para pelajar yang kurang cemerlang. Masalah mereka harus sama-sama dikenal pasti agar penambahbaikan boleh dilakukan oleh pihak berwajib bagi sesi-sesi mendatang. Akibat daripada kegilaan mengumpul ‘A’ ini, ada di antara para pelajar yang kurang cemerlang mengalami tekanan perasaan yang hebat. Mereka mengalami ‘inferiority complex’, malu untuk berhadapan dengan masyarakat, hilang keyakinan diri hingga ada pelajar lulusan UPSR sanggup menggantung diri akibat rasa malu yang tidak tertanggung! Ada pula golongan pelajar yang sanggup menggunakan pelbagai cara untuk melonggokkan ‘A’ atas slip keputusan peperiksaan mereka. Soalan-soalan bocor, teknik-teknik ‘kreatif dan inovatif’ dalam menyebarkan jawapan semasa di dewan peperiksaan bukan lagi perkara luar biasa yang berlaku di kalangan para pelajar. Habis nilai integriti yang disemai, dirosakkan oleh rasa tamak haloba sebelum sempat masak dan dituai. Peperiksaan bukanlah alat mutlak mengukur kredibiliti seseorang. Sistem penilaian menyeluruh perlu dikaji dan diimplementasikan bagi mendepani masalah ini.

9 Tahun Pendidikan Asas dan 3M

Menyedari hakikat kepentingan ilmu pengetahuan dalam memanusiakan manusia, kerajaan melalui dasar ini telah menyediakan platform yang baik bagi anak-anak dari umur 7 hingga 17 tahun untuk mendapatkan pendidikan asas. Pendidikan asas ini diberikan dalam 2 peringkat. Pertama, peringkat sekolah rendah yang menggunakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) selama 6 tahun. Kedua di peringkat menengah yang berpandukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) selama 5 tahun. Kemudian, barulah anak-anak ini biasanya akan memilih untuk meneruskan pelajaran di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau bekerja. Terdapat 2 peperiksaan rasmi mengisi jeda transisi setiap peringkat. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peperiksaan ini membolehkan para pelajar cemerlang memasuki sekolah dan institusi pengajian tinggi yang baik dan mencapai cita-cita mereka. Peluang ini disambut baik oleh rakyat Malaysia. Kebanyakan anak-anak di Malaysia kini dapat menikmati peluang pendidikan ini, meskipun ada yang datang daripada golongan sederhana dan kurang berada. Melalui KBSR, kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ditekankan kerana perkara ini merupakan sisi fundamental segala ilmu. Tanpa asas kemahiran membaca, mengira dan menulis, seseorang itu boleh mengalami kesukaran dalam berhadapan dengan dunia berasaskan ilmu pengetahuan hari ini. Baik dari aspek pekerjaan mahupun kehidupan sehari-hari. Kegagalan menguasai 3M juga menjadi punca perbezaan tahap dikalangan pelajar. Untuk menghadapi masalah ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan program rintis Kelas Bermasalah Pembelajaran Ringan KBSR di 71 buah sekolah pada tahun 2004. Pada tahun 2006, program ini diganti dengan Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) bagi murid Tahun 1. Murid yang tidak melepasi standard yang ditetapkan akan mengikuti Kelas Pemulihan Khas. Usaha ini dilihat sebagai langkah yang baik dalam menangani permasalahan pelajar dari peringkat asas.

Mempertingkat Pendidikan Kerohanian, Moral dan Disiplin

Jenayah kolar putih mahupun kolar biru berlaku antara lain disebabkan oleh kegoyahan sisi spiritual yang gagal dibangunkan bersama-sama sisi intelektual dan kemahiran seseorang itu. Saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa sisi spiritual inilah yang sepatutnya melandasi setiap juzuk ilmu yang dituntut oleh mana-mana pelajar agar nanti ilmu yang dipelajarinya itu akan membuahkan manfaat yang dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat global amnya. Masalah korupsi, pecah amanah, dan curi tulang dapat dikurangkan sekiranya para pelajar yang bakal memasuki pasaran kerja dan masyarakat ini dididik dengan asas keagamaan, nilai dan disiplin yang mendasar dalam sanubari diri mereka masing-masing. Namun wujud juga permasalahan rentetan nilai ilmu yang terletak pada markah peperiksaan seperti yang saya nyatakan tadi. Hal ini menjadikan pengajian ilmu-ilmu keagamaan, moral dan disiplin ini hanya sekadar dakwat dan air liur sahaja. Kebanyakan pelajar gagal menzahirkan sisi spiritual yang mapan apabila berada di dunia sebenar. Seseorang pelajar boleh sahaja mengumpulkan gred ‘A’ bagi mata pelajaran Agama Islam (contohnya) sedari ujian satu hingga ke peperiksaan akhir, namun, hal yang paling penting, iaitu pengamalannya kurang dilaksanakan. Apakah punca hal ini berlaku? Ilmu-ilmu ini seolah-olah hanya tersimpan di pengkalan data jangka pendek otak (short-term memory) untuk dimuntahkan atas lembaran jawapan peperiksaan, tidak meresap ke dalam hati, bersebati dalam sanubari lantas membentuk keperibadian terpuji. Mekanisme untuk mengukur tahap keberkesanan pelaksanaan strategi ini, punca kelemahan dan pelan pembaikan perlu diteliti untuk kemaslahatan semua. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya takut melakukan kesalahan apabila berhadapan dengan guru kerana guru tidak akan berada di semua tempat sepanjang hidup pelajar itu!

Memupuk Disiplin dan Kepimpinan Melalui Aktiviti Kokurikulum

Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM), Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Pengakap, Pandu Puteri dan Puteri Islam adalah antara persatuan beruniform yang wujud di kebanyakan sekolah di Malaysia. Organisasi seperti kelab dan unit beruniform itu tadi memberi peluang yang banyak untuk para pelajar mengasah bakat kepimpinan mereka, melatih disiplin diri serta ketahanan mental dan fizikal. Kementerian berkenaan telah menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai prasyarat kemasukan ke sekolah berasrama mahupun IPT. Melalui platform seumpama ini, bakat terpendam pelajar dapat dicungkil dan dimanfaatkan sepenuhnya. Pelajar akan mempelajari banyak perkara baru yang menyeronokkan sambil berkenalan dan bekerjasama dengan rakan-rakan lain. Organisasi kokurikulum merupakan model berskala kecil kepada kehidupan bermasyarakat yang bersistem. Maka isu-isu pengendalian manusia, formaliti, protokol, dan masalah-masalah berbangkit akan menambah pengalaman, menggerakkan minda yang tidur untuk mula melihat dunia di luar kerangka diri mereka dan berfikir di luar kotak fikiran mereka. Perlu ditekankan tentang peranan penasihat yang memantau gerak kerja sesebuah organisasi itu. Penasihat seharusnya bertindak sebagai penasihat, tidak berdiri di 2 titik ekstrem; terlalu mengongkong atau terlalu longgar. Penasihat yang lebih tua dan matang daripada pelajar perlu memastikan agar tugasan, aktiviti dan program dirancang dan dijalankan dengan kreativiti idea para pelajar, bukannya menjadikan pelajar sebagai alat untuk menaikkan nama kelab dengan menjual idea sendiri untuk diimplementasikan semata-mata. Penasihat perlu menegur idea-idea yang difikirkannya terlalu tohor atau utopia untuk dilaksanakan. Dengan ini barulah pelajar tidak jumud dan boleh lahir sebagai seorang yang dinamik!

Kemudahan dan Birokrasi Universiti

Gambar 8: Universiti sebagai dunia luar berskala kecil

Universiti adalah antara platform pendidikan formal terakhir sebelum penuntutnya beranjak masuk ke alam pekerjaan dan dunia sebenar. Komen yang diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim dalam mengulas perihal menara gading, yang disiarkan melalui Buletin Utama TV3 bertarikh 5 Januari 2008 wajar dipandang serius. Antara inti pati pandangannya, kebanyakan universiti lebih mengutamakan bahagian pengurusan dan para pelajar tidak berkembang dengan idea-idea baru. Mengapa hal ini berlaku? Kita harus sedar bahawa ‘persembahan’ yang ditonjolkan oleh pelajar yang kini bergelar siswa dan siswi di pentas universiti ini kebanyakannya membayangkan diri mereka yang sebenar apabila berada di dunia luar kelak. Tokoh-tokoh negara yang terkemuka (sekadar menyebut beberapa nama) seperti Dr. Sidek Baba, Tan Sri Musa Hitam, Aziz Deraman, serta Syed Muhammad Naquib al-Attas lahir daripada gerakan-gerakan mahasiswa yang digagaskan dan beroperasi di universiti tempatan suatu ketika dahulu. Perlu diingatkan, pendidikan bukan sahaja mahu melahirkan pelajar yang tinggi tahap intelektualnya, tetapi juga tinggi tahap rohani, jasmani dan emosinya. Pembangunan yang holistik. Peranan universiti sebagai gedung yang melahirkan ilmuwan tidak dapat dinafikan lagi. Perihal berhierarki, berpersatuan seperti ini tidak wajar dipandang sepi oleh pihak pengurusan mahupun mahasiswa itu sendiri. Hal ini kerana dari persatuan yang aktif inilah lahirnya percambahan dan tunas-tunas idea baru yang segar dan individu-individu berkredibiliti dan versatil.

Penglibatan di dunia universiti lebih realistik dan dekat dengan dunia semasa berbanding ketika di sekolah menengah. Dari situ mahasiswa akan membentuk dirinya menjadi versatile, orang yang boleh menguruskan masa belajar dan aktiviti kokurikulumnya dengan baik. Peraturan dan kerenah birokrasi yang terlalu ketat akan mengongkong perkembangan idea para siswa. Semangat mereka juga boleh terbantut dan ramai yang mengambil jalan mudah untuk mencampakkan aktiviti kokurikulum ini jauh-jauh kerana sukar untuk dilaksanakan (lantaran beban pelaksanaan ditambah dengan prosedur untuk mendapatkan kelulusan) dan dilihat tiada perkaitan langsung dengan kursus yang sedang diambilnya. Masalah ini amat ketara kebelakangan ini lebih-lebih lagi di IPT Swasta. Mungkin kerajaan tidak terlibat secara langsung dalam urus tadbir IPTS, tetapi wabak yang merunsingkan ini juga berjangkit kepada mahasiswa di IPTA. Hal ini diakui oleh pensyarah universiti awam tempatan. Kebanyakan aktiviti pelajar tidak lagi semeriah dahulu, jika ada yang terlibat, mereka berstatus AJK. Kita takut negara akan kerugian kerana bakat-bakat terpendam serta kemahiran-kemahiran tertentu yang dimiliki oleh mahasiswa tidak dicungkil, dicanai dan digilap, dengan baik. Kerana itu selain melihat kepada kemudahan prasarana dan teknologi semasa perlu untuk mendukung cita-cita murni untuk melahirkan graduan serba boleh, kita juga perlu memfokuskan hal-hal berkaitan dengan usaha mengurangkan kerenah birokrasi dan kemudahan para pelajar untuk berorganisasi dan menjalankan aktiviti. Dengan adanya kemudahan prasarana, penuntut di IPT akan dapat menambah kemahiran mengendalikan alatan canggih dan menjadi nilai tambah ketika bersaing di dalam pasaran kerja. Namun hal ini akan menjadi lebih cemerlang sekiranya prosedur yang ringkas, efisien dan efektif untuk berlokakarya dan lain-lain aktiviti yang relevan dengan mahasiswa serta dunia semasa dapat diimplementasikan. Hal ini mungkin bernaung di bawah strategi pelaksanaan ke 4, iaitu melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.

Pendemokrasian Pendidikan

Gambar 10: Pengagihan peruntukan belanjawan negara dengan adil memperbanyak peluang Malaysia melahirkan ‘bintang dunia’ (Gambar pelajar anak-anak orang asli di dalam perpustakaan SK (A) Bukit Tadom, Dengkil, Selangor)

Kebarangkalian untuk menjumpai permata daripada kawasan lombong yang luas lebih besar daripada lombong yang kecil. Begitulah analogi mudah untuk kita gambarkan betapa peri pentingnya pendemokrasian pendidikan ini dijalankan. Bagi membolehkan negara menikmati sumbang saran daripada potensi muda, maka pasaran untuk mendapatkan bekalannya perlu lebih luas. Prasarana dan alatan P&P yang baik boleh membantu mencungkil permata harapan agama, negara dan bangsa ini dipermudahkan. Maka dengan ini, pengagihan peruntukan kewangan tanpa memilih bulu membolehkan para pelajar khususnya yang belajar di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman menikmati peluang dan ruang yang serupa dengan pelajar di bandar. Usaha ini juga dilihat dapat merapatkan jurang pendidikan antara dua ‘plat dunia Malaysia’ ini. Siapa tahu yang nanti negara bakal diterajui oleh individu yang datang dari kelompok orang asli? Mereka juga rakyat Malaysia dan manusia yang boleh dididik, dibentuk untuk lahir sebagai seorang yang berwibawa dan berkarisma. Ketidakadilan dalam menyalurkan dana pendidikan ini akan menafikan peluang untuk pelajar ini berkembang selari dengan kemajuan sains dan teknologi negara. Masalah keciciran di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman akan terus menjadi trauma yang menghantui pengajarnya, muridnya, pihak berwajib dan masyarakat amnya. Hal ini melibatkan hak asasi (rights), bukannya hak istimewa (privilege). Dan timbal balik daripada pendidik, pentadbir, serta murid-murid sekolah luar bandar ini khasnya adalah untuk menghargai dan menggunakan secara optimum segala kemudahan yang ada untuk manfaat pembangunan diri mereka.

Tenaga Pengajar Berkualiti

Tenaga pengajar merupakan tulang belakang yang menyokong tumbesaran badan atau diri setiap pelajar. Guru, dalam bahasa mudahnya, perlu menjadi contoh teladan dari segenap aspek; keperibadian, kematangan berfikir, tutur bahasa, ketinggian ilmu, prinsip hidup dan banyak lagi kerana merekalah ibu bapa kedua bagi anak-anak yang sedang menjalani tahun-tahun persekolahan. Perhubungan mereka yang rapat dengan para pelajar, biarlah apa pun sebabnya (jadual, kelab, inisiatif diri) menjadikan mereka antara contoh hidup yang akan dinilai oleh para pelajar. Justeru, tidak cukup untuk seseorang guru itu menjadi guru yang cemerlang dengan hanya berbekalkan ikhtisas akademik bergulung-gulung. Tetapi aspek kemahiran, pedagogi dan skil untuk berkomunikasi dengan para pelajar itu lebih meninggalkan bekas dalam hidup pelajar. Guru yang baik akan menjadikan subjek yang dianggap umum sebagai bosan, sungguh menarik perhatian. Bukan sedikit bilangan pelajar yang meminati satu-satu subjek itu lantas belajar dengan bersungguh-sungguh berpunca daripada kemahiran pengajaran dan komunikasi seseorang guru itu. Guru yang baik juga tidak hanya mengajar pelajar untuk sekadar lulus periksa semata-mata, tetapi akan mengajar dan membina potensi dalam diri pelajar itu untuk lahir menjadi insan yang bersedia menghadapi cabaran-cabaran dalam hidupnya kelak. Guru juga tidak perlu jumud dengan satu teks rujukan. Meluaskan capaian dan jaringan maklumatnya tidak akan memudaratkan mana-mana pihak. Malah input-input tambahan ini boleh menjadi bahan pembakar semangat bagi para pelajarnya untuk ‘tahu lebih’ dan menjadi ‘lebih tahu’, memahami dan menghayati ilmu yang dipelajarinya itu. Misalnya dalam aplikasi ilmu matematik. Kebanyakan pelajar mempelajari subjek ini tanpa mengetahui peri penting kedudukan subjek itu dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan mengetahui aplikasinya secara jelas, minda pelajar akan terangsang untuk mengeluarkan idea-idea baru yang inovatif dan kreatif sifatnya. Guru berperanan untuk memandu idea itu agar ia boleh direalisasikan.

 

Maka guru-guru ini tidak hanya direkrut secara semberono tanpa menetapkan kriteria-kriteria tertentu. Persepsi masyarakat yang telah berubah, meletakkan kerjaya keguruan sebagai kerjaya terakhir dalam senarai pilihan menjadikan tidak banyak pelajar-pelajar lebih baik memasuki bidang kerjaya ini. Sedangkan, di Singapura contohnya, kerjaya guru ini setaraf dengan lapangan profesional yang lain seperti doktor dan jurutera! Mana mungkin seorang guru yang hanya berkelulusan UPSR ingin mengajar anak murid yang ingin mengambil SPM. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah, seorang guru yang baik, perlunya punya tahap ikhtisas akademik yang lebih tinggi daripada murid yang diajarnya. Jika lebih banyak graduan bukan sekadar ijazah sarjana, malahan PhD. boleh turut serta memantapkan institusi pendidikan negara, dengan teknik yang betul, pedagogi yang betul kemahiran yang betul, kualiti pelajar yang dihasilkan pasti juga meningkat tahapnya. Hal ini sedang diusahakan oleh pihak berwajib. Apa yang pasti, kualiti guru itu perlu dalam menjana pelajar yang berkualiti. Hanya dengan ini, segala pelan yang termaktub dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Jangan kita hanya asyik berslogan tanpa ada tindakan yang boleh merealisasikan slogan tersebut. Kata Prof. Diraja Dr. Engku Aziz, seseorang yang terlalu banyak disuapkan dengan slogan akan menyebabkan fikirannya terhenti. Tunjukkan melalui perbuatan dan amalan, bukan sekadar laungan, hiasan sampingan!

Demikianlah secara ringkas pengamatan saya terhadap dasar pendidikan negara. Kita perlu melihatnya daripada aspek realiti agar dapat disesuaikan dengan apa yang tertulis hitam-putih di lembaran-lembaran kertas ini. Pelaksanaan strategi-strategi yang antaranya telah disebutkan dalam esei ini amat perlu untuk mengetahui keberkesanan, kelemahan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan bersama.

Rujukan


Buku
Hasnah Hussin, Mardiana Nordin, 2007. Pengajian Malaysia, Kuala Lumpur, Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010),Putrajaya, Kementerian Pendidikan Malaysia.


Laman Web

http://www.moe.gov.my

Perisian Komputer
e-Kamus 5.02 Profesional Edition, ALAF TERAS, 2001-2007 (001302561-D)

24 Comments

Filed under Akademik

24 responses to “10th: Dasar Pendidikan Kebangsaan

  1. faruqi san

    Assalamualaikum….
    Garapan yang baik, akhi. Ana tersenyum sepanjang membaca tulisan nta. Patut pun cikgu Azniza kata markah 85% untuk subjek penulisan nta tu ialah markah yang merudum… Lagi tersenyum ana bila artikel ni di selang selikan dengan gambar2 yang tak asing dari skrin retina ana.

    Mane nta dapat gambar foyer Biomedical Engineering, tempat ana selalu melepak2 di UM tu..? :)

  2. Wa’alaikumsalam ya akhi…

    Rindu jua ana pada enta. Gambar foyer BioMed Engr. UM tu ana ambil dalam net, pernah ana jadikan Wallpaper penghias desktop selama beberapa ketika masa ana semangat nak masuk UM dulu, ambil course macam enta. Ana pun berharap kita dapat bersua muka dalam sedikit masa lagi, insya-Allah :D

  3. layyinul harir

    salam…. ana terbuka bog ini apabila dikehendaki membuat satu tugasa berkaitan subjek pengantar pendidikan…. ana diminta mengupas tentang trenda-trenda pendidikan kini… pabila terbuka blog ini, timbul pelbagai persepsi antaranya kagum tentang pengolahan fokus bicara di atas… mabruk alaik….

  4. bone

    aku pn tgk blog ni nk wat tugasan…faktor2 pembentukan Falsafah Penddidikan Negara… Thanks…banyak aku dapat… Peace msia..

  5. ayu

    mekaseh maklumat tersebut dpt membantu mnambah maklumat dlm final exam…

  6. Tercetus rasa kagum membc hasil tinta sdra.Kembali mengingatkan saya pada bidang penulisan yg telah ditinggalkan 3 tahun lalu.Tahniah kerana berjaya menghasilkan satu informasi yg amat berguna.Teruskan menghasilkan artikel-artikel sebegini.Ma’annajah..

  7. pljr

    salam,penulis ada tak sumber psl ” ke arah pendidikan dan pengajaran kebangsaan”

  8. @pljr

    wslm. Maaf, seingat saya, saya tiada sumber yang anda inginkan. Mungkin boleh tanya di mana-mana pusat sumber yang berhampiran dengan pljr.

    Semoga berjaya dalam pendidikan pljr!

  9. mastura

    salam…
    time kasih banyak2 sbb artikel sdra byk membantu saya dalam menyiapkan tugasan.
    ianya satu informai yang berguna kepada pendidik dan juga yang seangkatan dengannya dalam memartabatkan pendidikan negara kita

  10. tieyna

    trime ksh diatas artkel anda ini.ia byk bantu sy siapkan tugasan..sy harp anda akan byk lg mengeluarkan artikel2 yg mcm ni..

  11. ima

    bgus la artikel ni….sy pun bkak tok buat tugasan gak…’punca pelajar kurang minat subjek agama….’ x byk yg dpt tok tugasan, tp byk yg dpt tok difikirkn… bgus2…..

  12. shahira

    terima kasih. saya mendapat banyak maklumat di sini

  13. mas

    Terima kasih atas maklumat ini. Mohon izin copy kandungan teks anda untuk assignment saya…

  14. noor hasimah bt muhamad

    salam.
    Tahniah artikel anda sangat menarik. Teruskan menulis artikal seperti ini, ia dapat membantu rakan-rakan yang memerlukan. Semoga Allah memberkati usaha anda.

  15. rethnam

    sy org baru nak minta bantuan skit boleh tak memberi penerangan ttg keberkesanan dasarpendidikan dlam memupuk perpaduan kaum klau x masa nak layan kirim je aalamat internet yg boleh dilayari

  16. rethnam

    kebekesanan dasar pendidikan dlam memupuk perpaduan kaum antarle komen ataupun alamat url yg boleh saya layari

  17. Zek Lee

    Anda seorang yang hebat. Saya akan jadikan bahan anda sebagai rujukan dalam menyelesaikan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Saya sedang menyiapkan tugasan yang bertajuk “Dasar Pendidikan Kegara dan Intergrasi Nasional”
    Kalau ada maklumat lain yang boleh di kongsi….. Alhamdulillah

  18. hakimmi

    assalamualaikum,
    im serching for dasar pendidikan kebngsaan kebngsaan untuk my asgmnt n i found ur blog.. ur blog mmg intrsting..saya nak tanya ur opinion about kebaikan dasar ni untuk bumiputra.”dasar pendidikan kebngsaan,sejauhmana menguntungkan bumiputra” ni la tajuk asgmnt saya.can i use ur blog for my rujukan n take some information. if u have any opinion or link regarding my asgmnt just email me.tq

  19. mar

    article yang sangat menarik…terima kasih..ia membantu saya dalam memahami dasar ini..sekadar membaca untuk menambah pengetahuan..

  20. pija

    terima kasih penulis :)

  21. Ija

    tulisan yang menarik dan menambah ilmu…banyak yang saya terfikir semula selepas baca tulisan saudara….mohon kebenaran untuk ambil beberapa isi tulisan sedara sebagai isi dalam tugasan saya….semoga terus menulis untuk menjana minda pembaca dan membantu kami yang memerlukan bahan sebagai rujukan dalam menyiapkan tugasan…terimas skali lagi

  22. Shyzana Binti Che Suhaimi

    Penulisan yang baik ..thanks for sharing this article;-)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s