Jalan Pulang


Karya yang perlu kami kaji suatu masa lalu

“Nazmie, nanti saya nak awak buat sketsa untuk pembentangan bab yang saya telah tugaskan kepada awak,” arah Cikgu Raja kepada saya.

‘Sketsa? Teman-teman lain sibuk dengan banyak tugasan…masakan boleh dikumpulkan semata-mata untuk berlatih sketsa…’hati aku lemah dan tawar. Tugasan itu kurasakan agak berat dalam kesibukan program IB yang semakin menghampiri garisan penamatnya ini.

Masa berlalu. Tarikh pembentangan semakin hampir. Saya ketandusan fikir dan idea. Lalu diselaklah helai-helai Kamus Dewan Edisi Ketiga milik adik saya dan bertemu dengan takrifan harfiah ini.

Sketsa:

  1. Lukisan yang dibuat secara kasar dan cepat
  2. Karangan atau lakonan pendek yang menggelikan hati

Sketsa juga karangan rupanya. Lantas, berpegang dengan takrif kamus dewan, saya terus menuliskan sebuah karangan pendek. Kami warga IB (Kolej Mara Banting 05-07) perlu mempelajari sebuah novel karya sasterawan negara Dato’ Shahnon Ahmad.

Novelnya ini antara karyanya yang dihargai di dalam dan luar negara. Ranjau Sepanjang Jalan mengisahkan kehidupan golongan petani di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah; Lahuma, Jeha dan anak-anaknya yang tujuh mengharungi perit-maung hidup dengan hasil tanaman padi mereka. Saban tahun padi-padi itu tidak diperoleh dengan sewenang-wenangnya. Pertama, semak-samun bendang perlu dibersihkan sebelum semaian dapat dipindahkan ke sawah.

Kerja-kerja menjaga anak-anak pokok padi juga mencabar. Datanglah ketika itu ketam. Turunlah ketika itu hujan lebat yang membawa banjir. Yang selamat membesar tidaklah sebanyak ketika pokok-pokok itu mula ditanam. Padi yang menguning pula berhadapan dengan serangan burung pipit. Cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi.

Keluarga Jeha kehilangan suami yang juga seorang ayah kepada anak mereka yang tujuh kerana luka tertusuk duri yang akhirnya menjadi parah, membawa kepada penyakit busung dan mati Lahuma dalam keadaan yang amat memilukan. Keluarga ini sekali lagi diuji apabila sampai suatu ketika, Jeha yang tidak tertanggung penderitaan yang dialaminya itu akhirnya menjadi tidak waras. Hidup mereka penuh cabaran dan ujian yang menjadi ranjau di sepanjang jalan.

Hasil kupasan novel ini menjadi intisari oral Bahasa Melayu kami yang dirakam untuk porsi pemarkahan subjek Malay A1. Novel ini pasti meninggalkan nostalgia kepada penuntut IB dan sesiapa sahaja yang membacanya. Mungkin kritik yang menyatakan wujud nilai membesar-besarkan (exaggeration) dalam novel ini ada juga kebenarannya. Namun, mungkin itulah senjata yang digunakan oleh Dato’ Shahnon Ahmad dalam usahanya membuka mata rakyat Malaysia yang suatu ketika dahulu pernah wujud kelompok manusia yang hidup dalam sedemikian gaya.

Hari yang ditunggu tiba. Giliran saya membentangkan salah satu bab dalam novel tersebut. Saya mulakan dengan bacaan definisi kamus dewan yang saya ambil sebagai dasar pembentangan itu dan menjelaskan kepada cikgu dan rakan sekelas (E05B) tentang apa yang akan saya persembahkan. Di sepanjang pembacaan cerita pendek itu, gelak tawa tiada tertahan dari mulut rakan-rakan yang mendengarkannya.

Saya tidak mengupas bab itu dari perspektif Lahuma, Jeha mahupun lain-lain manusia. Tetapi mengambil pandangan ketam yang menyerang padi-padi muda Lahuma…

Jalan Pulang

Adaptasi karya Shahnon Ahmad: Ranjau Sepanjang Jalan

Kenangan bersama teman seperjuangan E05B, Cikgu Raja Hasni.

Arakian tersebutlah kisah di sebuah daerah dagang; tempat berhimpun sekalian ketam Kampung Banggul Derdap(KBD). Pagi itu tiba lagi, seperti tahun-tahun sudah. Sudah setahun berlalu, Labib mati direbus Lahuma. Matinya dahsyat. Dikubur dengan ketam-ketam rebus yang lain. Berlaksa-laksa jua banyaknya. Tahun ini Joyah, isterinya Labib terpaksa berjuang seorang. Jika dahulu Labib ada, Labiblah yang mengerjakan semua perdu-perdu padi keluarga Lahuma bersama rakan-rakannya. Joyah hanya membantu, itu pun terlalu sedikit. Peranannya terpencil.

Tahun ini juga terpaksa dikendong bersamanya 7 orang anak-anaknya. 7 campur 1 = 8 + beribu-ribu gerombolan ketam yang mahu keluar tahun ini. Pada Joyah, itulah 7 anak yang bakal menyambung pahit-maung tradisi keluar “ketam petani” sepertinya. Itulah Senak, itulah Kawah, itulah Jebon, itulah Sawai, Piah, Luas dan Siah. Berat yang maha, bebanan yang tertanggung di batu jemalanya. Perdu mesti diketip, kalau tidak apalah yang hendak dijamah anak-anaknya. Pagi itu Joyah nekad. Nekad untuk keluar dan mengerjakan sawah Lahuma dan Jeha.

Dia percaya, susah senang, hidup matinya dan anak-anaknya, juga Labib suaminya semua telah ditetapkan oleh Allah Azzawajalla. Tiada ragu lagi. Itulah fikir Labib, fikir Joyah, juga fikir anak-anaknya bertujuh itu. Zikir di mulutnya tidak pernah putus. Segala puji-pujian hanya pada pencipta sawah, pokok padi, lumpur, selut, batas-batas dan ketam-ketam kesemuanya. Hatta Lahuma sekeluarga.

Joyah sedar dia akan mati suatu hari nanti. Seperti mana Labib mati di dalam kawah nyalaan Lahuma tahun sudah. Dia juga akan menurut langkah Labib. Begitu juga Senak, Kawah, Jebon, Sawai, Piah, Luas dan Siah. Mereka berlapan pasti akan mati. Kerana mati itu pasti. Mereka ingin mati kerana Tuhannya. Bukan mati bertuhankan yang lain. Bertuhankan sawah, perdu-perdu padi dan lainnya.

Pagi itu mereka masuk ke relung milik Lahuma. Aman. Anak-anak padi masih cantik tersemai di genangan air lumpur, kotor, dan berbau hanyir itu.

Bagi anaknya bertujuh, itulah pengalaman pertama mereka dibawa ke sawah padi. Kelihatan ketam-ketam lain mula mengepit-ngepit perdu anak-anak pokok padi Lahuma. Hidup perlu diteruskan. Rezeki perlu dicari. Apa yang telah ditetapkanNya pasti sampai kepada kita walau apa pun halangannya.

“Arghh..!” Tiba-tiba terdengar satu suara yang dirasakan biasa didengarnya. Suara Pak Andak!

Air yang tadinya tenang tiba-tiba berombak. Sungguh kuat. Anak-anaknya terpaksa berpaut kuat sesama mereka. Guruh berbunyi. Amat memekikkan telinga. 120 dB kira-kira hatinya. Telinga Joyah menangkap suara Jeha yang setahun sekali kedengaran. Itu rupanya ‘guruh’. Dentum perasaan Jeha melalui mulutnya. Mukanya tampak cemas, menggelabah. Dia sedang menghadap anak-anaknya. Joyah tidak nampak Lahuma. ‘Kenapa Lahuma tidak ke bendang tahun ini? Tahun sudah, habis berpuluh ribu ketam yang dipungut dan dibunuhnya. Tiba-tiba tahun ini tidak nampak kelibat…bosan atau sakitkah dia? Kenapa dibiarkan Jeha dan anak-anak suntinya bermain dengan lumpur ini? Berperang menggantikan dia?’

“Argh…Sulung mati dipijak…!’ jerit seekor ketam. Keadaan bertambah kecoh dan kelam-kabut. Joyah jadi bingung seketika.

Babak-babak pembunuhan bersiri ngeri tahun-tahun sudah bermain di cepu mindanya. Labib. Labib. Labib.

“Mak lari, mak lari!!” Jerit Senak, tempik Kawah, jerkah Jebon, teriak Sawai, Piah, Luas dan Siah. Joyah terlongo. Dia terasa bumi semakin jauh dari tapak kaki-kakinya. Terawang-awang. Gelap.

Panas…panas…panas…

Joyah terjaga. Dia merasakan bahang yang amat di persekitarannya. Joyah dapati dirinya tersepit dicelah-celah ketam yang bertimbun. Rintih dan tangis, raung dan lolong menghidupkan suasana. Terlalu gawat, terlalu dahsyat. Hiruk-pikuk yang melampau. Pekik dan lolong bersiponggang. Gema menambah garam kedahsyatan. Joyah terasa berada di dalam gaung bersama-sama ketam-ketam yang lain.

Kawah! Satu tempat yang amat digeruni semua ketam. Itulah tempat di mana dia berada sekarang. Kawah. Tempat Labib dan ketam-ketam dahulu yang direbus sampai mati. Panas…panas!!

Ada yang menggeruh seperti bunyi kerbau mati disembelih. Terdengar juga jeritan dan tangis anak-anak kecil. Senak! Kawah! Jebon! Sawai! Piah! Luas! Siah…! Satu per satu nama anak-anaknya yang tercinta dipanggil kuat. Kuat dalam mindanya. Bendalir dalam badannya mendidih. Panasnya tidak terperi lagi. Joyah teringat kepada arwah Labib. Pada anak-anaknya yang tujuh. Selamatkah mereka?

Joyah tahu, dia dan kaumnya begitu dimusuhi Lahuma, keluarganya dan lain-lain warga petani Kampung Banggul Derdap. Joyah tahu, Lahuma juga perlu membesarkan anak-anaknya yang berderet-deret itu. Mulut isterinya juga perlu disuapkan. Sama tanggungjawabnya seperti dia dan arwah Labib. Joyah mengerti semua itu. Labib dan Lahuma keduanya berjuang untuk mencari nafkah lahiriah buat ahli keluarga mereka. Memang kewajipan yang jantan. Memang tersurat. Itu sunnatullah, fikir Joyah dalam payah. Panas!!!

‘Plashh!’ Sebelah matanya meletup pecah. Terhambur isi matanya itu. Terlalu perit rasanya. Badan tidak lagi mampu menanggung suhu yang teramat tinggi itu. Memanggang seisi cangkerang dan daging-dagingnya. Joyah tiba-tiba teringatkan ayat-ayat Allah.

002:156 (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Itulah yang menjadi penawar dan ubat pelalinya kini. Mata keduanya menemui nasib yang sama seperti matanya yang sebelah lagi. Isi-isinya luluh, meletus, terpercik, bersepai isi gelemair. Retina, iris semua bertabur entah ke mana.

Joyah teringat pesan Labib kepadanya.

“Hidup sebagai makhluk perlu ta’at dan patuh kepadaNya. Kita, dijadikan untuk manfaat manusia. Jika kita dianggapnya mengganggu kehidupan mereka, mereka akan berusaha memerangi kita. Ini jalan dan peraturan alam yang Allah telah tetapkan…Redhalah…sebagai makhluk, kepatuhan kita patut tidak lagi berbelah bagi.”

Redha. Redha. Tawakkal. Tawakkal. Itu fikir Joyah. Sakit kepanasan sudah tidak lagi terasa. Hatinya teringatkan Allah yang Maha Pengasih. Tuhan yang menciptakannya dan segala isi langit dan bumi.

“Selamat tinggal dunia, Senak, Kawah, Jebon, Sawai, Piah, Luas, Siah…”

“Aku bersaksi tiada yang disembah melainkan Allah. Aku bersaksi yang Muhammad itu pesuruh Allah…”

Gelap.

“Tiap-tiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati…”

 

 

* * * *

Saya menamatkan pembacaan cerita itu. Cikgu Raja kemudiannya meminta saya menaipkan semula cerita yang saya coretkan di beberapa helaian kertas kecil supaya boleh diprint dan disimpan oleh beliau.

Coretan yang merindui hari-hari di KMB.

Rakan-rakan yang masih berjuang di seberang sana, doakan kejayaan kita bersama.

A6-1-11,
Uniten,
Kampus Putrajaya,
MALAYSIA

9 Comments

Filed under KMB

9 responses to “Jalan Pulang

  1. MNJ

    Assalamualaikum akhi.
    Buku yang first tu… alahai. rindu la plak. huhu
    Ranjau sepanjang jalan. Yup, memang sepanjang jalan.

    =)

  2. Zurriya

    Assalamualaikum,
    Hehe..teringat kat kmb and ketam2 tu!
    Nazmie blaja leklok kat situ.Ktorg kt sini harap2nya okay,both intelectually and spiritually.

  3. wan nurhayati

    assalamualaikum nazmi,

    hmm,,nice sttory,,teringt korg berlakon kt kelas tym tu,,

    ape kate buat lagi byk2 cerite??

    k,,bye.

    p/s: ketam best!

  4. wan zulfadhli

    ranjau sepanjang jalan,
    kalau diterjemahkan ke bahasa inggeris kelantan bunyinya lebih kurang
    “road to success is always under construction” (bukan idea asal saya)

  5. nur izat muhamad

    bukan salah ketam memakan anak padi…

  6. Assalamualaikum.
    Jazakallah atas coretan memori yang enta lakar di papan maya ini.
    Lucu dan ngeri.
    Kawah seumpama subset neraka.
    Agak2nya, apakah pengakhiran kita ya?
    Jauhkanlah daripada azab dan murka Allah.

    Moga kecemerlangan dan redha Allah menjadi milik kita
    walau di mana sahaja berada.
    Ma’at taufiq wannajah.

  7. eiza idanie bt che saleh

    dimana saya dapat mencari intisari kandungan karya sasterawan contohnya : Shannon Ahmad – Rentong
    A. Samad Said – Salina,wira bukit
    Usman Awang- turunnya sebuah
    bendera,jiwa hamba
    Ishak haji Muhammad (Pak Sako) -Anak
    Mat Lela gila

    Nordin Hassan – Bukan lalang Ditiup
    Angin,Tiang Seri Tegak
    Berlima,Jangan Bunuh
    Rama-rama,Anak
    Tanjung

    Syed Alwi – Tok Perak

    sekian.terima kasih

  8. Hi there! I can not understand Malaysian language. Can you understand English? I am a college student in Philippines. I would just want to know if you have read this novel of Shahnon Ahmad? Thank you very much :)

  9. @ Micah

    You mean his novel ‘No Harvest But A Thorn?’ Yeah, my college mates and me have read it years before when we took Malay Language subject.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s