
Alhamdulillah. Puji itu semua dan setinggi-tingginya untuk Allah. Selawat dan salam itu buat kekasih Allah; Muhammad Ibn Abdullah s.a.w., keluarga baginda.
13 Februari yang lalu, umur telahpun melangkah ke anak tangga yang ke-21. Umur ini secara kasarnya menokok bilangan tahun sepeninggalan dari alam pra-persekolahan Tabika Kemas Kg. Berisu, 15 tahun, alam pengajian rendah-Sekolah Kebangsaan Berisu; 9 tahun. Alam pengajian menengah-Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah; 4 tahun; Program Latihan Khidmat Negara-PLKN, Kem Cahaya Gemilang hampir 3 tahun setengah, Matrikulasi-Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
Surau An-Nur,KMB yang penuh dengan kenangan
(walaupun sempat berada di sana selama sebulan cuma) hampir 3 tahun; dan Kolej Mara Banting-KMB yang dirindui; hampir 1 tahun lamanya. Umur ini juga penanda aras akan dekatnya diri ini dengan kematian(yang pasti) dengan kurangnya 1 tahun jatah(baki) umur. Hampir 1 tahun berada di Universiti Tenaga Nasional-UNITEN dan meninggalkan 48 purnama=4 tahun sebelum sampai kepada umur 25 tahun.
Saya kira telah berpuluh bab kehidupan yang tercoret dengan 1001(mengapa mesti 1001 ya?) kisah suka-duka yang banyak memberi ‘ibrah(pengajaran) dan membentuk sempadan(membina taqwa) yang boleh dikongsi. Telah lama hati berhajat untuk mencari ruang dan peluang menulis. Beberapa percubaan (cth:blogspot) sebelum ini tidak menemukan istiqamah. Moga medan blog ini berbeda. Moga tulisan-tulisan mendatang membawa manfaat, menyemai benih muhasabah, mencambah dahan-dahan ‘amal dan memutikkan bunga serta buah akhlak di dunia yang boleh dituai hasilnya untuk hari-hari tanpa mati akhirat sana. Hanya semuanya dengan izinNya.
Falsafah masih terlalu baru dalam hidup saya. Terima kasih yang tiada terhingga kepada guru subjek falsafah saya yang pertama (subjek Theory of Knowledge-IB Diploma Programme); Pn. Raieda Ainulmaslih ketika saya menuntut di Kolej MARA Banting (2005-2007). Subjek ini alhamdulillah telah banyak membuka dimensi baru dalam hidup saya. Mungkin beberapa penulisan dalam blog ini akan berat dengan falsafah. Perlu kepada renungan. Latihan untuk hidup dengan pandangan mata hati. Pandangan yang disertai fikir dan zikir mencari makna lebih mendasar. Insya-Allah frekuensi artikel sebegini tidak akan begitu tinggi(mudah-mudahan (^_^)).
‘Lensa 21” dan 4 Titik Fokus Untuk Realiti Piksel Infiniti’; tajuk ini merupakan sebuah judul yang metaforikal. Objek konkritnya merujuk kepada sebuah kamera digital yang punya sebuah lensa. Tajuk tulisan pertama ini adalah simbolika kepada sistem nilai saya setelah berusia 21 tahun.
Manusia menilai dunia berdasarkan apa yang dipercayainya(dalam Islam kepercayaan itu adalah aqidah tauhid-kontrak kepercayaan kepada Ilah yang Esa). Sistem nilai ini boleh terbentuk atas pelbagai fahaman, ideologi, teologi(agama) atau isme. Setelah 21 tahun hidup, saya kini memandang dunia dibalik sebuah ‘lensa’. Lensa ini pastinya belum sempurna. Namun, saya positif kepada segala jalan-jalan baik untuk mencapai kebenaran (ilmu, pemerhatian, pembacaan, teguran, muhasabah, kritik, saran dll.). Lensa itu fungsinya mendapatkan gambaran sesuatu kejadian atau insiden yang imejnya terbentuk pada keping hati, anugerah Allah. Coret rasanya saya paparkan di blog ini. Baik yang telah berlaku mahupun pada hal-hal yang mendatang. Jika benar, boleh diambil menjadi pengajaran.
Wujud kesilapan adalah lumrah. Manusia itu banyak agar saling melengkapi. Kesilapan itu untuk diperbaiki. Kelemahan itu untuk membuktikan manusia perlu bergantung kepada Yang Tiada Kelemahan; Yang Maha Sempurna.
4 Titik Fokus merujuk kepada baki 4 tahun sebelum saya berusia 25 tahun. Ada beberapa perkara penting yang memerlukan kepada persediaan teliti dan rapi sebelum saat itu. Rasa dan rancang yang tidak sulit insya-Allah (iA) akan saya kongsikan bersama.
Merancang masa depan?
Sesuatu perbuatan perlu ada matlamat. Hidup perlu matlamat. Penulisan ini merupakan sebahagian daripada hidup saya. Maka matlamatnya adalah untuk meraih manfaat(rahmat, keredhaan, pahala dll. daripada Yang Maha Kaya) di ‘realiti piksel infiniti’. ‘Realiti’ merujuk kepada hidup di akhirat dan ‘piksel infiniti’ adalah simbolik kepastian dan kejelasan yang amat tentang amaran akan kedatangan hari hidup tanpa mati(yang disampaikan menerusi al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w).
Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama!
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…
Melangkah!!
-annajm5-
No. 21,
Taman Desa Dahlia,
Sg. Ramal Dalam,
Kajang, Selangor.




























































2 Comments
March 8, 2008 at 4:38 pm
subjek falsafah belajar cane ek?
March 8, 2008 at 9:45 pm
Salam
Dalam kamus dewan,
falsafah bermaksud pengetahuan tentang pengertian yg dianggap sbg ilmu yg tertinggi yg menjadi dasar ilmu-ilmu lain; ahli ~ orang yg ahli dlm falsafah, ahli fikir;
Untuk belajar ilmu falsafah itu banyak yang katakan sukar…
Tetapi, mungkin secara ringkasnya saya boleh katakan
Falsafah itu apabila kita melihat sesuatu perkara daripada multi-dimensi,
tidak terburu-buru membuat keputusan, tidak berhujah berasaskan andaian semata-mata tanpa bukti yang datang daripada pihak berautoriti(berkepakaran dalam sesuatu bidang).
Falsafah juga tidak menggunakan konsep pukul rata (overgeneralization). Falsafah itu melihat yang tersirat disebalik yang tersurat. Falsafah melayan inkuiri manusia dengan logik dan dinamik. Falsafah mengkaji daripada manakah datangnya ilmu pengetahuan kita dan apakah mekanisma kita mendapatkan ilmu tersebut. Falsafah berguna untuk kita lebih menghayati sesuatu perkara dengan mendalam, dan lebih mendasar.
Falsafah itu ilmu berfikir….Analogi atau perumpamaan itu sebahagian contoh ilmu falsafah. Falsafah itu indah jika benar-benar difahami dan dihayati. Semua perkara punya falsafah tersendiri. Namun tidak semua perlu difalsafahkan.
Wallahu’alam